Beijing siasat bar didakwa punca lonjakan kes COVID-19

Gambar: Noel Celis /AFP
BEIJING: Pihak berkuasa Beijing melancarkan siasatan terhadap sebuah bar 24 jam yang dipercayai menyebabkan penularan kes COVID-19 di ibu negara China itu sejak beberapa hari lalu, lapor media tempatan pada Selasa (14 Jun).
Pasukan yang melibatkan pelbagai jabatan pemerintah tempatan akan bekerjasama untuk menyiasat bar Heaven Supermarket dengan "pantas, tegas dan sewajarnya", lapor akhbar tempatan, Beijing Daily.
Pihak berkuasa kini semakin tertekan sejak kes-kes yang menular itu dikaitkan dengan bar tersebut. Ini menyebabkan berjuta-juta penduduk terpaksa menjalani ujian saringan wajib COVID-19 dan beribu-ribu yang lain kini berdepan dengan sekatan pergerakan.
Pengumuman mengenai siasatan tersebut dibuat sehari selepas media tempatan melaporkan Naib Perdana Menteri Sun Chunlan melawat bar itu dan menekankan betapa pentingnya untuk mengetatkan lagi langkah-langkah pencegahan serta kawalan COVID-19 di lokasi-lokasi utama.
Para individu yang terjangkit COVID-19 sama ada menetap atau bekerja di 14 daripada 16 daerah di Beijing, menurut pihak berkuasa.
Para penduduk hanya dibenarkan untuk duduk makan di luar pada 6 Jun lalu selepas lebih sebulan bandar dengan 22 juta penduduk itu menguatkuasakan perintah berkurung.
Ini termasuk menggesa orang ramai supaya bekerja dari rumah dan menutup pusat beli-belah serta sebahagian sistem pengangkutan.
Kira-kira 10,000 kontak rapat yang melanggani bar tersebut sudah dikenal pasti. Bangunan kediaman mereka juga sudah dikenakan sekatan pergerakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.