Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Beijing selar dakwaan 'palsu' AS bahawa China mungkin bekal senjata kepada Rusia

Anggaran Waktu Membaca:
Beijing selar dakwaan 'palsu' AS bahawa China mungkin bekal senjata kepada Rusia

(Gambar fail: AP/Evgeniy Maloletka)

BEIJING: Beijing pada Isnin (20 Feb) menyelar apa yang dikatakan sebagai dakwaan "palsu" oleh Amerika Syarikat (AS), bahawa China sedang mempertimbangkan kemungkinan membekalkan senjata dan peluru kepada Rusia dalam peperangannya dengan Ukraine.

"Sebenarnya AS dan bukan China yang menghantar senjata ke medan perang," tegas jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin ketika ditanya mengenai dakwaan AS.

China menggesa agar AS betul-betul merenung tindakannya, dan melakukan lebih banyak lagi untuk melegakan situasi tersebut, mengalakkan keamanan dan dialog dan berhenti daripada mengalihkan tuduhan serta menyebarkan maklumat palsu.

Kenyataan tersebut dibuat menyusuli wawancara Setiausaha Negara AS Antony Blinken, yang mana beliau memberitahu CBS bahawa China kini sedang "mempertimbangkan untuk menyediakan bantuan senjata" kepada Mosko yang merangkumi bekalan peluru dan senjata.
Beliau membuat komen serupa dalam satu siri temu ramah dari Jerman, di mana beliau menghadiri Persidangan Keselamatan Munich pada Sabtu (18 Feb) dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi.

Dakwaan Encik Blinken dibuat sedang hubungan antara kedua-dua negara itu kian tegang setelah Washington menembak jatuh apa yang dikatakan sebagai sebuah belon perisik China.

China dikhuatiri sedang memperkukuh hubungan dengan Rusia meskipun tercetusnya konflik tersebut. Encik Wang Yi bagaimanapun menekankan bahawa Beijing memainkan peranan yang konstruktif, dan berpegang teguh kepada pendirian tersebut dalam dialog demikian.

"Kami tidak terima tuduhan AS mengenai hubungan China-Rusia, apatah lagi paksaan dan tekanan," tekan jurucakap China Wang Wenbin.

Diplomat tertinggi China, Wang Yi, sudah tiba di Mosko bagi rundingan berhubung kemungkinan rancangan damai untuk Ukraine, lapor akhbar Kommersant.

Presiden China Xi Jinping dijangka akan menyampaikan "ucapan damai" sempena ulang tahun pencerobohan Rusia terhadap Ukraine, menurut Menteri Luar Itali pada Jumaat (17 Feb).
Sumber : AGENCIES/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan