Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Beijing kerja dari rumah; kejayaan Shanghai bendung COVID-19 semakin dekat

Anggaran Waktu Membaca:

BEIJING/SHANGHAI: Jalan di ibu kota China, Beijing, sunyi-sepi pada Jumaat (13 Mei) sedang para penduduk mematuhi nasihat pihak berkuasa untuk bekerja dari rumah bagi mencegah penularan COVID-19.

Sementara itu, para pegawai di Shanghai yang dikenakan perintah berkurung, menyatakan mereka menyasarkan untuk membendung virus itu pada bulan ini.

Pegawai Beijing pada lewat Khamis (12 Mei) menolak desas-desus yang kononnya perintah berkurung akan dilaksanakan seperti di Shanghai, sambil menggesa orang ramai agar tidak cemas membeli barangan keperluan dan duduk di rumah.

Ia juga mengumumkan pusingan baru ujian besar-besaran di kebanyakan kawasan dalam bandar itu.

Sebahagian besar penduduknya kelihatan tenang pada Jumaat selepas bergegas ke pasar raya sehari sebelumnya untuk mendapatkan bekalan makanan dan lain-lain, lapor Reuters.

"Saya tidak begitu risau. Lagipun, baru-baru ini kami sudah bekerja dari rumah," kata Leo Luo, 27 tahun, seorang pekerja sektor kewangan.

Pihak berkuasa di bandar itu sudah menghentikan aktiviti makan di restoran, menutup beberapa pusat beli-belah, tempat-tempat hiburan dan pelancongan, menggangtung sistem bas, kereta api dan teksi serta mengenakan perintah berkurung di sesetengah bangunan kediaman.

Pembendungan COVID-19 meletakkan ratusan juta penduduk dalam bandar-bandar utama di bawah pelbagai sekatan, yang menjejas beberapa industri seperti pengilangan dan rantai bekalan global.

Sementara sekatan perjalanan di negara-negara lain dilonggarkan untuk beralih ke fasa endemik, China menyatakan pada Khamis ia akan "menghadkan dengan ketat" perjalanan yang tidak penting yang dilakukan rakyatnya.

China menolak sebarang kritikan tentang dasar 'sifar COVID' negaranya, sambil menyatakan usaha menyelamatkan nyawa lebih penting walaupun terdapat kesan jangka pendek dan aktiviti-aktiviti akan disambung semula sebaik sahaja wabak itu dilenyapkan.

"Mereka yang menyalahkan strategi sifar COVID China berpandangan cetek," menurut akhbar Global Times.

"Sesetengah daripada mereka hanya cuba untuk mencemar, memburukkan, merendahkan China. Sesiapa yang menyatakan bahawa China berisiko mengalami kemelesetan akan tahu akibatnya."

Para pegawai di Shanghai, yang sudah melalui enam minggu perintah berkurung, menyatakan aktiviti ekonomik sedang perlahan-lahan kembali semula, dengan banyak kilang beroperasi dalam sistem "terbendung", dengan pekerjanya tinggal di situ.

Lebih 9,000 syarikat di Shanghai beroperasi pada hampir 50 peratus, menurut pegawai.

Pemerintah sudah mula memotong cukai bagi perniagaan dan menyalurkan lebih banyak dana ke dalam projek-projek prasarana, sementara bank pusat sudah menambah lebih banyak wang ke dalam ekonomi dan meningkatkan bantuan bagi sesetengah sektor.

Sebaik sahaja "sifar-COVID" dicapai di peringkat masyarakat, bandar itu akan mula melonggarkan sekatan pergerakan dan membuka semula kedai-kedai, kata Encik Wu, Timbalan Datuk Bandar Shanghai.

Ujian masih diperlukan untuk kekal bebas COVID-19 sedang kehidupan normal diteruskan. Kapasiti ujian sudah ditingkatkan sehingga lebih lapan juta sehari, dengan lebih 5,700 stesen ujian beroperasi.

Sumber : Agensi berita/KF/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan