Beijing hidupkan semula dialog dengan pembangkang Taiwan
Satu pertemuan yang jarang berlaku antara Presiden China Xi Jinping dengan pemimpin utama pembangkang Taiwan menghidupkan semula hubungan merentasi Selat Taiwan yang sekian lama terhenti.
Presiden China Xi Jinping (kanan) berjabat tangan dengan pemimpin parti Kuomintang (KMT) Cheng Li-wun di Beijing pada 10 April 2026. (Gambar: Xinhua menerusi AP/Xie Huanchi)
Namun, sama ada pertemuan tersebut benar-benar dapat meredakan ketegangan masih belum jelas.
Pada bulan lalu, Encik Xi mengadakan pertemuan dengan Cik Cheng Li-wun, iaitu pengerusi Kuomintang (KMT) Taiwan, semasa lawatan enam hari Cik Cheng ke China yang sekali gus menandakan hubungan peringkat tertinggi antara kedua-dua pihak dalam tempoh sedekad.
Cik Cheng mengetuai delegasi 13 anggota yang merangkumi tokoh-tokoh kanan parti. Kumpulan itu memberi penghormatan di makam Sun Yat-sen – yang dihormati kedua-dua pihak sebagai “Bapa China Moden” – dan melawat beberapa syarikat China termasuk gergasi teknologi Xiaomi.
PENGLIBATAN SEMULA
Namun, pertemuan Cik Cheng dengan Encik Xi paling mendapat perhatian.
Beijing mengelak daripada berurusan dengan Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah Taiwan, yang dilihat memperjuangkan perpisahan wilayah itu daripada China.
Sebaliknya, ia mengekalkan saluran hubungan dengan KMT, yang dilihat sebagai lebih mesra terhadap Beijing.
Oleh itu, pertemuan Xi-Cheng menandakan kebangkitan semula dialog antara Parti Komunis China dengan KMT – satu keutamaan yang diusahakan Cik Cheng sejak beliau memegang jawatannya pada November lalu.
Bercakap mengenai kepentingan pertemuan itu, Cik Cheng berkata: “Selagi titik permulaan kita betul, pembangunan aman merentasi selat penuh dengan potensi yang optimistik. Hari ini, kami berjaya mengambil langkah pertama itu.”
Cik Cheng pulang ke Taiwan dengan sokongan daripada partinya, dengan 19 anggota parlimen KMT menyambut kepulangannya di lapangan terbang dan menyokong usahanya untuk meletakkan parti itu sebagai jambatan bagi kestabilan rentas selat.
Namun, DPP yang memerintah membidas lawatan tersebut sambil merujuk kepada kegiatan ketenteraan China yang masih berterusan di sekitar pulau itu sepanjang lawatan berkenaan.
Di samping pertemuan itu, Beijing mengumumkan 10 langkah dasar baharu yang menyasarkan Taiwan, termasuk rancangan untuk menyambung semula perjalanan individu dari Shanghai dan Fujian, serta memperluas peluang bagi syarikat-syarikat Taiwan yang beroperasi di China.
Namun, para penganalisis berkata kebanyakan langkah tersebut terhad dari segi skopnya dan banyak bergantung kepada keputusan sehala Beijing.
“Tujuh atau lapan daripada 10 langkah itu pada asasnya ialah dasar sehala China,” kata Wang Chih-sheng, setiausaha agung badan pemikir Cross-Strait Policy Association yang berpangkalan di Taipei.
“Bagi ramai di Taiwan, daya tarikannya dan bagaimana mereka melihatnya sudah berkurangan berbanding sebelum ini.”
PENDAPAT AWAM YANG BERBELAH BAHAGI
Pendapat awam di Taiwan dilihat berbelah bahagi berhubung kepentingan pertemuan itu.
Satu tinjauan oleh penyiar TVBS mendapati 43 peratus responden berkata rundingan Xi-Cheng akan membantu keamanan rentas selat, berbanding 39 peratus yang berkata sebaliknya.
Satu lagi tinjauan oleh firma Taiwan, Formosa, menunjukkan pandangan yang lebih skeptikal, dengan 51.1 peratus berkata pertemuan itu tidak akan membantu mencegah konflik atau melindungi kepentingan Taiwan, berbanding 37.6 peratus yang berpendapat bahawa ia akan membantu Taiwan.
Namun, kedua-dua tinjauan menunjukkan sokongan lebih meluas terhadap usaha untuk menghidupkan semula dialog dengan China, meskipun pandangan mengenai lawatan Cik Cheng masih bercampur-campur.
“Rakyat dan pemerintah Taiwan berharap dialog rentas selat dapat disambung semula. Persoalannya ialah sama ada ia boleh berlaku tanpa prasyarat,” kata Encik Wang.
“Keamanan dan komunikasi rentas selat boleh dicapai dengan lebih berkesan tanpa prasyarat dan pendirian yang sudah ditetapkan.”
Meskipun hubungan kembali terjalin, KMT bukan parti pemerintah Taiwan, sekali gus mengehadkan sejauh mana pertemuan itu boleh membawa kepada perubahan dasar konkrit atau mengurangkan ketegangan.
Namun begitu, lawatan itu mungkin medatangkan manfaat politik domestik bagi Cik Cheng.
Tinjauan menunjukkan kadar kepercayaan terhadap beliau meningkat lebih tujuh peratusan mata sejak lawatan tersebut – paras tertinggi sejak Januari – menunjukkan beliau mungkin kembali mendapat sokongan dalam kalangan penyokong KMT.
Momentum itu mungkin diuji dalam pilihan raya tempatan pada November akan datang.
Para pemerhati berkata prestasi kukuh KMT boleh mengukuhkan kepimpinan Cik Cheng dan berpotensi meletakkan beliau sebagai calon presiden pada 2028.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.