Beijing buka semula sekolah rendah, menengah sedang kes COVID-19 merosot
Suruhanjaya Pendidikan Beijing menyatakan pada Sabtu (25 Jun) bahawa semua pelajar sekolah rendah dan menengah di ibu negara itu boleh kembali ke sekolah secara fizikal mulai Isnin dengan kes COVID-19 semakin berkurangan sejak beberapa hari kebelakangan ini.

(Gambar: Jade Gao/AFP)
Tadika akan dibenarkan untuk dibuka semula mulai 4 Julai, tambah suruhanjaya itu, lapor Reuters.
Beijing menutup semua sekolahnya pada awal Mei dan mengarahkan para pelajar beralih ke pembelajaran online di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19 dalam negeri.
Para pelajar tingkatan atas di sekolah-sekolah menengah dan tinggi dibenarkan untuk kembali ke bilik darjah bermula 2 Jun lalu, lapor Reuters.
Biro Sukan Perbandaran Beijing menyatakan dalam kenyataan berasingan bahawa kegiatan sukan bagi pelajar boleh disambung semula bermula 27 Jun di tempat-tempat bukan sekolah yang mana tiada kes COVID-19 dicatatkan dalam kalangan masyarakat selama tujuh hari beruntun. Namun, tempat besmen untuk bersukan akan terus ditutup.
Penyertaan dalam kegiatan sukan pula harus dihadkan kepada 75 peratus daripada kapasiti biasa dan peserta mesti menunjukkan hasil negatif ujian COVID-19 dalam tempoh 72 jam, tambahnya.
Beijing adalah antara bandar di China yang melaksanakan sekatan untuk membendung penularan gelombang Omicron dari Mac hingga Mei. Usaha yang dilaksanakan berjaya mengurangkan bilangan kes tetapi ia membebankan ekonomi negara.
Shanghai, yang menarik balik perintah berkurung pada 1 Jun setelah dua bulan menguatkuasakannya, pada Sabtu tidak melaporkan sebarang kes baru tempatan - baik yang bergejala mahupun tidak - buat kali pertama sejak 23 Februari.
Shanghai terus menjalankan ujian PCR secara besar-besaran ke atas 25 juta penduduknya pada setiap hujung minggu sehingga akhir bulan Julai. Duduk makan di premis tertutup juga terus dilarang di kebanyakan bandar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.