Skip to main content

Dunia

Beberapa orang jatuh sakit di pangkalan Air Force One setelah buka bungkusan mencurigakan

Satu bungkusan mencurigakan mengandungi serbuk putih dihantar ke sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Maryland menyebabkan beberapa individu jatuh sakit dan beberapa lagi dimasukkan ke hospital, lapor CNN pada Khamis (6 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa orang jatuh sakit di pangkalan Air Force One setelah buka bungkusan mencurigakan
Pesawat Air Force One di Pangkalan Bersama Andrews di Maryland, pada 5 November 2025. (Gambar fail: Getty Images menerusi AFP)
Diterbitkan : 07 Nov 2025 08:08PM
WASHINGTON: Satu bungkusan mencurigakan mengandungi serbuk putih dihantar ke sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Maryland menyebabkan beberapa individu jatuh sakit dan beberapa lagi dimasukkan ke hospital, lapor CNN pada Khamis (6 Nov).

Sebuah bangunan di pangkalan itu dikosongkan selepas seorang individu “membuka bungkusan yang mencurigakan”, lapor CNN yang memetik kenyataan dari Pangkalan Bersama Andrews, yang terletak di luar Washington, DC.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, bangunan berkenaan dan bangunan yang terhubung dengannya telah dikosongkan, dan kawasan sekitar turut dipagar,” menurut kenyataan itu.

Beberapa orang dibawa ke Pusat Perubatan Malcolm Grove di pangkalan berkenaan, menurut CNN.

Tahap serius kecederaan yang dialami belum diketahui.

Pangkalan Bersama Andrews terkenal sebagai pangkalan bagi Air Force One, iaitu pesawat rasmi yang digunakan untuk membawa presiden Amerika Syarikat ke luar negara.

Bungkusan itu mengandungi serbuk putih yang tidak diketahui, menurut CNN, sambil menukil dua sumber yang berpengetahuan dengan siasatan.

Pasukan respons pertama Pangkalan Bersama Andrews mengesahkan tiada ancaman segera dan menyerahkan tempat kejadian kepada Pejabat Penyiasat Khas, menurut CNN.

Ujian awal di lapangan oleh pasukan HAZMAT tidak mengesan sebarang bahan yang berbahaya, tetapi siasatan masih dijalankan, tambah CNN, sambil menukil salah satu sumber yang berpengetahuan mengenai perkara itu.

CNN melaporkan bilik di mana sampul itu dibuka, terletak dalam bangunan yang menempatkan Pusat Kesiapsiagaan Pengawal Kebangsaan Udara sudah ditutup.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan Pangkalan Bersama Andrews belum segera membalas permohonan Reuters untuk mendapatkan komen.

Reuters juga tidak dapat segera mengesahkan laporan itu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita