Beberapa orang ditikam dalam 'insiden besar' di Birmingham
Polis Britain mengisytiharkan satu "insiden besar" berlaku pada awal pagi Ahad (6 Sep) apabila beberapa orang ditikam di Birmingham, pusat bandar kedua England.

Gambar fail garisan polis dan kenderaan kecemasan. (Gambar: West Midlands Police/Facebook)
LONDON: Polis Britain mengisytiharkan satu "insiden besar" berlaku pada awal pagi Ahad (6 Sep) apabila beberapa orang ditikam di Birmingham, pusat bandar kedua England.
"Kami boleh mengesahkan bahawa pada kira-kira 12.30 pagi hari ini (6 Sep), kami menerima laporan mengenai insiden tikaman di pusat bandar Birmingham," menurut Polis West Midlands dalam satu kenyataan.
"Beberapa lagi tikaman lain" dilaporkan di kawasan itu tidak lama kemudian dan "ia diisytiharkan satu insiden besar", tambah kenyataan itu.
"Kami sedar beberapa orang cedera tetapi buat masa ini, kami tidak berada dalam kedudukan untuk menyatakan berapa ramai atau betapa serius kecederaan yang dialami.
"Bagaimanapun, semua khidmat kecemasan sedang bekerja bersama di tempat kejadian dan memastikan mereka yang cedera menerima jagaan perubatan."
Rakaman yang disiarkan di saluran-saluran berita televisyen Britain menunjukkan sejumlah besar kawasan di pusat bandar itu dikepung dengan pegawai polis yang berpakaian forensik melakukan siasatan di tempat kejadian.
"Siasatan masih dijalankan untuk menentukan apa yang telah berlaku dan boleh memakan masa sebelum kami dapat mengesahkan kejadian," jelas West Midlands Police.
"Pada peringkat awal ini, ia mungkin tidak wajar untuk membuat spekulasi punca insiden itu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.