Skip to main content

Dunia

Beberapa orang cedera akibat letupan gas di Christchurch

Jabatan kecemasan New Zealand memindahkan para penduduk yang tinggal berhampiran tempat dipercayai berlakunya satu letupan gas di bandar Pulau Selatan di Christchurch.

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa orang cedera akibat letupan gas di Christchurch

Kordon polis di Christchurch. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Jul 2019 11:43AM Dikemas Kini : 19 Jul 2019 11:59AM

WELLINGTON: Jabatan kecemasan New Zealand memindahkan para penduduk yang tinggal berhampiran tempat dipercayai berlakunya satu letupan gas di bandar Pulau Selatan di Christchurch.

Sebuah rumah terbakar dan beberapa orang dilaporkan cedera akibat kejadian yang berlaku pada Jumaat (19 Jul).

Christchurch masih lagi dalam keadaan berwaspada empat bulan setelah seorang lelaki bersenjata membunuh 51 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain dalam serangan yang dilancarkan ke atas dua masjid. Ia merupakan serangan tembakan beramai-ramai paling dahsyat yang pernah berlaku di New Zealand.

Tiada tanda yang menunjukkan bahawa letupan yang berlaku hari ini (19 Jul) menimbulkan isu keselamatan lebih besar di negara itu.

"Jabatan Kebakaran dan Kecemasan New Zealand dikerahkan ke sebuah rumah yang terbakar... pada sekitar 10.15 pagi menyusuli laporan-laporan mengenai letupan gas besar," kata jurucakap jabatan bomba itu.

Empat kereta bomba, sebuah unit komand pakar dan seorang penyiasat kebakaran berada di tempat kejadian, katanya.

Dalam laporan awal yang dikeluarkan, polis membayangkan bahawa beberapa orang mengalami kecederaan dalam insiden yang berlaku di kawasan kediaman Northwood. Menurut laporan media pula, enam orang sudah dihantar ke hospital.

Polis mengepung jalan-jalan raya dan mengarahkan para penduduk berpindah dari rumah yang terbakar dalam insiden yang disifatkan sebagai "serius".

Seorang kakitangan dari sebuah hotel di Christchurch memberitahu akhbar New Zealand Herald bahawa bunyi serupa letupan menggegarkan bangunan-bangunan berhampiran.

Polis belum lagi mengenal pasti punca insiden itu. Jurucakap Khidmat Jabatan Kebakaran dan Kecemasan juga berkata, pihaknya belum menerima maklumat rasmi mengenai punca kejadian. 

Sumber : Reuters/AI/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita