Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Beberapa negara Islam kutuk keras keputusan Sweden benarkan perbuatan bakar al-Quran

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa negara Islam kutuk keras keputusan Sweden benarkan perbuatan bakar al-Quran

Ketua parti politik Stram Kurs, Rasmus Paludan, memegang senaskhah Al-Quran semasa menunjuk perasaan di luar Kedutaan Turki di Stockholm, Sweden pada 21 Januari 2023. (Gambar: Fredrik Sandberg/TT News Agency/AFP)

Diterbitkan : 22 Jan 2023 12:16PM Dikemas Kini : 22 Jan 2023 12:17PM

ANKARA: Turki pada Sabtu (21 Jan) mengutuk “perbuatan keji” ke atas al-Quran dan menyifatkan ia sebagai satu "jenayah kebencian secara terang-terangan”.

Demikian menurut laporan Agensi Anadolu, memetik kenyataan Kementerian Luar Turki.

Menurut kenyataan itu, "membiarkan tindakan anti-Islam yang menyasarkan umat Islam dan menghina nilai-nilai suci kita dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara tidak boleh diterima sama sekali". 

Turki menyeru pihak berkuasa Sweden agar mengambil langkah yang perlu terhadap jenayah kebencian tersebut kerana perbuatan itu satu lagi contoh Islamofobia, gerakan perkauman dan diskriminasi di Eropah yang amat membimbangkan.

Kementerian itu juga menggesa semua negara serta pertubuhan antarabangsa untuk mengambil langkah konkrit sebagai solidariti menentang Islamofobia.

Kenyataan Turki itu dibuat selepas ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan, dilaporkan mendapat kebenaran untuk membakar al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm pada Sabtu.

Susuli itu, Ankara membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden Pal Jonson yang akan ke Turki.

Kementerian Luar Turki pada Jumaat (20 Jan) turut memanggil Duta Sweden ke Ankara, Staffan Herrstrom.

Minggu lalu, Turki meminta Sweden mengenakan tindakan terhadap kumpulan pengganas selepas tunjuk perasaan di Stockholm, yang menyaksikan penunjuk perasaan memuat naik rakaman provokasi serta ancaman sebagai bantahan terhadap Turki dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO pada Mei lalu.

Bagaimanapun, Turki, yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun, menyuarakan bantahan dan mendakwa kedua-dua negara itu menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (FETO).

Dalam pada itu, beberapa negara Islam lain turut mengecam keputusan membenarkan pembakaran al-Quran oleh pelampau sayap kanan Sweden-Denmark berkenaan serta menyifatkannya sebagai percubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan. 

Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan menyatakan Eropah berselindung di sebalik kebebasan bersuara dengan "membenarkan unsur pelampau dan radikal menyebarkan kebencian".

Jurucakap kementerian itu, Nasser Kanaani, berkata umat Islam di seluruh dunia mengharapkan kerajaan Sweden untuk "mencegah” insiden seperti itu dan memastikan mereka yang melakukan perbuatan berkenaan tidak terlepas daripada hukuman, lapor Agensi Anadolu. 

Dalam perkembangan sama, Menteri Luar Kuwait Sheikh Salem Abdullah Al-Jaber Al-Sabah dalam satu kenyataan berkata insiden itu mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia dan satu provokasi yang serius.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa bersama menggalas tanggungjawab untuk menghentikan perbuatan itu serta mengecam semua bentuk kebencian dan ekstremisme serta membawa pelaku ke muka pengadilan, lapor Agensi Berita Iran KUNA.

Sementara itu, Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan Islamofobia, yang tidak boleh diterima akal dan provokatif itu, menjejas sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia, lapor Agensi Anadolu.

Islamabad menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama menunjukkan azam menentang Islamofobia, xenofobia, sikap tidak bertolak ansur dan hasutan kepada keganasan atas dasar agama atau kepercayaan dan bekerjasama untuk menggalakkan keharmonian meskipun berbeza pegangan agama.

Sumber : Agensi berita/Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan