Beberapa lapangan terbang Eropah lumpuh akibat serangan siber
Logo lapangan terbang antarabangsa Brussels di Zaventem, Belgium pada 31 Mac 2025. (Gambar fail: REUTERS/Yves Herman)
BRUSSELS: Operasi di beberapa lapangan terbang utama Eropah termasuk Heathrow di London, Brussels dan Berlin terjejas pada Sabtu (20 Sep) ekoran serangan siber ke atas penyedia khidmat sistem daftar masuk dan menaiki pesawat.
Collins Aerospace, yang mengendalikan sistem daftar masuk dan menaiki pesawat bagi beberapa penerbangan di beberapa lapangan terbang seluruh dunia, mengalami isu teknikal yang mungkin menyebabkan kelengahan bagi penumpang yang ingin berlepas, menurut Lapangan Terbang Heathrow London pada Sabtu, selepas amaran tentang kelengahan itu.
RTX, syarikat induk Collins Aerospace belum mengeluarkan sebarang komen sejauh ini.
Serangan itu menyebabkan sistem automatik tidak dapat beroperasi, dan pendaftaran masuk dan prosedur menaiki pesawat perlu dilakukan secara manual, menurut Lapangan Terbang Brussels pada lamannya.
"Ia mempunyai kesan ketara terhadap jadual penerbangan dan malangnya menyebabkan penangguhan dan pembatalan penerbangan.
"Penyedia khidmat sedang giat memperbetulkan isu itu dan cuba menghuraikan masalah itu secepat mungkin."
Para penumpang dengan penerbangan yang dijadualkan pada Sabtu dinasihatkan oleh lapangan terbang yang terjejas supaya mengesahkan penerbangan mereka sebelum menuju ke lapangan terbang.
"Disebabkan oleh isu teknikal pada sistem penyedia yang beroperasi di seluruh Eropah, masa menunggu lebih lama dapat dijangkakan untuk mendaftar masuk. Kami sedang berusaha menyediakan huraian pantas," menurut Lapangan Terbang Berlin dalam notis pada lamannya.
Lapangan Terbang Frankfurt, iaitu lapangan terbang terbesar di Jerman tidak terjejas, kata seorang jurucakap.
Seorang pegawai dari pusat kawalan operasi di Lapangan Terbang Zurich juga menyatakan ia tidak terjejas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.