Beberapa kawasan Selangor dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat
(Gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor)
SHAH ALAM: Dianggarkan sebanyak 20 rumah terjejas ekoran banjir kilat di Kampung Budiman, Puncak Alam, di Shah Alam berikutan hujan lebat sejak kira-kira pukul 3.00 petang Khamis (10 Nov).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata banjir kilat itu berikutan hujan lebat dan berlaku limpahan air dari longkang besar berhampiran yang menyebabkan air naik sekitar satu meter.
Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan pukul 5.15 petang dan tiba di lokasi pada pukul 5.45 petang.
“Penduduk bertindak keluar ke tempat lebih tinggi dan seorang warga emas telah dipindahkan menggunakan bot bomba ke tempat tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis (10 Nov).
Beliau berkata buat masa ini, hujan sudah berhenti dan paras air juga mula menyurut.
Pada masa sama, tambah beliau, banjir turut melanda Taman Setia Warisan, Seksyen U6, dengan menjejaskan kira-kira 20 rumah di kawasan terbabit. Bagaimanapun, tiada mangsa dipindahkan dan pihak bomba masih membuat pemantauan di lokasi memandangkan paras air yang semakin meningkat.
Encik Norazam turut memaklumkan bahawa beberapa kawasan di sekitar Meru juga dilanda banjir kilat sedalam 0.3 meter, melibatkan kawasan Meru 3, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban, Jalan Kenangan, Taman Daya, Jalan Khamis, Jalan Jabar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru.
Tiada mangsa dipindahkan dan hujan kembali reda dengan paras air semakin surut, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.