Beberapa ekonomi Asia sedia tingkatkan rundingan dagang dengan Amerika jelang tarikh akhir tarif
Ekonomi-ekonomi Asia bersiap sedia pada Selasa (8 Jul) untuk meningkatkan rundingan perdagangan selepas Washington mengenakan tarif tinggi ke atas mereka, walaupun tawaran saat-saat akhir dibuat untuk meningkatkan import dan menghapuskan levi terhadap barang import dari Amerika Syarikat.
Para pekerja memunggah kontena ke atas sebuah kapal kargo di sebuah pelabuhan perindustrian di Tokyo, Jepun pada 3 April 2025. (Gambar fail: Reuters/Kim Kyung-hoon)
Negara-negara di rantau itu membentuk sebahagian besar daripada 14 negara yang menerima surat maklum tarif dari Amerika Syarikat sejauh ini, di mana ia mengumumkan tarif lebih tinggi terhadap eksport dari negara-negara itu mulai 1 Ogos.
Negara-negara sekutu Amerika Syarikat iaitu Jepun dan Korea Selatan merupakan antara negara yang terjejas, di mana mereka dikenakan duti sebanyak 25 peratus.
Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba memberitahu para menteri Kabinet pada Selasa bahawa ia sudah menerima usulan dari Amerika Syarikat supaya meneruskan dengan rundingan dan, bergantung kepada respons Jepun, kandungan surat itu masih boleh diubah sebelum tarikh akhir pada 1 Ogos.
Jepun juga "secara aktif mencari peluang perjanjian yang menguntungkan kedua-dua negara, sambil melindungi kepentingan negara Jepun", katanya.
Pejabat Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung berkata Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio sudah mengumumkan tarikh akhir baharu, iaitu lanjutan kepada tarikh akhir yang ditetapkan sebelum ini pada 9 Julai, sekali gus bermakna masih ada masa untuk mencapai perjanjian.
Kementerian Perindustrian Korea Selatan berkata Seoul akan "meningkatkan rundingan dalam tempoh masa yang tinggal untuk mencapai keputusan yang menguntungkan kedua-dua pihak".
"Kami rancang untuk menggunakannya sebagai peluang untuk menambah baik sistem dan peraturan domestik bagi menghuraikan defisit perdagangan yang menjadi kepentingan utama Amerika," ia menambah dalam satu kenyataan.
REAKSI DARI ASIA TENGGARA
Enam negara di Asia Tenggara - Laos, Myanmar, Kemboja, Thailand, Malaysia dan Indonesia juga menerima surat maklum tarif.
Indonesia dan Thailand dikenakan kadar tarif yang sama seperti yang diancam oleh Encik Trump pada April lalu, iaitu masing-masing 32 peratus dan 36 peratus.
Ini walaupun terdapat usaha untuk meningkatkan cadangan, seperti janji untuk menambah pembelian barang eksport Amerika dan menghapuskan tarif terhadap pelbagai barang import Amerika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.