Skip to main content

Dunia

Beberapa bandar Amerika siap sedia berdepan lebih banyak tunjuk perasaan sedang sebahagian Los Angeles dikenakan perintah berkurung

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa bandar Amerika siap sedia berdepan lebih banyak tunjuk perasaan sedang sebahagian Los Angeles dikenakan perintah berkurung

Para anggota penguat kuasa undang-undang mengawal keasaan selepas tempoh berkurung dilaksanakan. (Gambar: Reuters/Leah Mills)

Diterbitkan : 11 Jun 2025 05:30PM Dikemas Kini : 11 Jun 2025 05:31PM
LOS ANGELES: Beberapa bandar Amerika Syarikat bersiap sedia bagi tunjuk perasaan pada Rabu (11 Jun) menentang serbuan imigresen besar-besaran Presiden Donald Trump. Ini sedang sebahagian daripada bandar kedua terbesar negara itu, Los Angeles, dikenakan perintah berkurung dalam usaha untuk meredakan kekacauan lima hari.

Gabenor Texas, Republican Greg Abbott, berkata beliau akan mengerahkan Pengawal Negara minggu ini, menjelang tunjuk perasaan yang dirancang. Penunjuk perasaan dan polis di Austin bertempur pada Isnin.

Langkah luar biasa Encik Trump mengerahkan Pengawal Negara dan Marin untuk meredakan tunjuk perasaan di Los Angeles mencetuskan perdebatan nasional mengenai penggunaan tentera di bumi Amerika Syarikat dan mengadu domba antara presiden Republican itu dengan gabenor Democrat California.

"Penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan oleh presiden yang sedang berkhidmat ini memburukkan lagi keadaan yang tegang, membahayakan rakyat kita, pegawai kita dan juga Pengawal Negara kita. Itulah saat keadaan buruk bermula," tegas Gabenor California Gavin Newsom dalam ucapan video pada Selasa.

"Beliau sekali lagi memilih untuk meningkatkan ketegangan. Beliau memilih lebih banyak kekerasan. Beliau memilih sandiwara berbanding keselamatan awam... Demokrasi sedang diserang."

Encik Newsom, yang secara meluas dilihat sedang bersiap sedia untuk bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2028, dan California menyaman Encik Trump dan Jabatan Pertahanan pada Isnin, sebagai usaha untuk menyekat pengerahan tentera persekutuan. Encik Trump pula mencadangkan Encik Newsom harus ditangkap.

Ratusan Marin Amerika Syarikat tiba di kawasan Los Angeles pada Selasa atas arahan Encik Trump, selepas beliau juga mengarahkan pengerahan 4,000 Pengawal Negara ke bandar itu. Marin dan Pengawal Negara akan digunakan untuk melindungi kakitangan dan bangunan pemerintah dan bukan dalam tindakan polis.

Datuk Bandar Los Angeles Karen Bass berkata pengerahan itu tidak perlu kerana polis boleh menguruskan tunjuk perasaan, yang majoritinya adalah aman, dan terhad kepada kira-kira lima jalan raya.

Sekalipun demikian, disebabkan rompakan dan keganasan pada waktu malam, beliau mengenakan perintah berkurung di sekitar satu batu persegi pusat bandar itu, bermula Selasa malam. Perintah berkurung akan berlangsung beberapa hari.

Polis menyatakan beberapa kumpulan kekal di jalanan di beberapa kawasan walaupun terdapat perintah berkurung dan "tangkapan besar-besaran" sudah dimulakan. Polis sebelum ini berkata 197 orang sudah ditangkap pada Selasa - lebih dua kali ganda jumlah tangkapan setakat ini.

Pemimpin Democrat membangkitkan kebimbangan mengenai krisis nasional dalam apa yang menjadi titik panas paling sengit dalam usaha pentadbiran Encik Trump untuk mengusir pendatang yang tinggal di negara itu secara haram, dan kemudian bertindak ke atas lawan yang menunjuk perasaan di jalanan.

Encik Trump, yang dipilih semula ke jawatan itu tahun lalu sebahagian besarnya disebabkan janjinya untuk mengusir pendatang tanpa izin, menggunakan ucapan menghormati tentera pada Selasa untuk mempertahankan keputusannya.

Beliau memberitahu tentera di pangkalan tentera di Fort Bragg, North Carolina: "Generasi wira tentera tidak menumpahkan darah mereka di pantai yang jauh hanya untuk melihat negara kita dimusnahkan oleh pencerobohan dan ketiadaan undang-undang dunia ketiga."

<<Polis menyekat jalan semasa tunjuk perasaan pada Selasa, 10 Jun 2025, di Los Angeles. (Gambar: AP Photo/Eric Thayer)>>

"SERANGAN PENUH"

"Apa yang anda saksikan di California adalah serangan penuh terhadap keamanan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara, yang dilakukan oleh perusuh yang membawa bendera asing," kata Encik Trump, sambil menambah pentadbirannya akan "membebaskan Los Angeles".

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Mexico dan negara-negara lain sebagai perpaduan kepada pendatang yang ditangkap dalam siri serbuan yang semakin sengit.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri pada Isnin jmenyatakan bahagian Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) sudah menahan 2,000 pesalah imigresen setiap hari baru-baru ini, jauh melebihi purata harian 311 pada tahun fiskal 2024 di bawah mantan Presiden Joe Biden.

Tunjuk perasaan juga berlaku di bandar-bandar lain termasuk New York, Atlanta dan Chicago, di mana penunjuk perasaan menjerit dan bergaduh dengan pegawai. Beberapa penunjuk perasaan memanjat arca Picasso di Daley Plaza, manakala yang lain melaungkan agar ICE harus dimansuhkan.

Gabenor Texas Abbott berkata lewat Selasa bahawa beliau akan mengerahkan Pengawal Negara, yang "akan menggunakan setiap alat & strategi untuk membantu penguatkuasaan undang-undang mengekalkan ketenteraman".

"Pengawal Negara Texas akan dikerahkan ke lokasi di seluruh wilayah untuk memastikan keamanan & ketenteraman. Tunjuk perasaan aman adalah sah. Membahayakan seseorang atau harta benda adalah haram & akan membawa kepada penangkapan," tulis Encik Abbott di X.

Pertubuhan Texas Selatan dijangka mengadakan perhimpunan anti-ICE pada Rabu dan Sabtu, menurut laporan CNN memetik media tempatan.

Kira-kira 700 Marin berada di kawasan penempatan di kawasan Seal Beach, kira-kira 50km selatan Los Angeles pada Selasa, menunggu pengerahan ke lokasi tertentu, kata seorang pegawai Amerika Syarikat.

Peguam Negara California Rob Bonta memberitahu Reuters bahawa wilayah itu bimbang tentang membenarkan tentera persekutuan untuk melindungi kakitangan, sambil mengatakan ada risiko bahawa ia boleh melanggar undang-undang 1878 yang secara amnya melarang tentera Amerika Syarikat, termasuk Pengawal Negara, daripada mengambil bahagian dalam penguatkuasaan undang-undang awam.

"Melindungi kakitangan kemungkinan bermakna mengiringi ejen ICE ke dalam masyarakat dan kejiranan, dan melindungi fungsi boleh bermakna melindungi fungsi ICE dalam menguatkuasakan undang-undang imigresen," kata Encik Bonta.

Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS pada Selasa memuat naik gambar di X pasukan Pengawal Negara mengiringi pegawai ICE dalam serbuan imigresen. Pegawai pentadbiran Encik Trump sudah berjanji untuk menggandakan serbuan imigresen sebagai tindak balas kepada tunjuk perasaan jalanan.

Kali terakhir tentera digunakan untuk tindakan polis langsung di bawah Akta Pemberontakan adalah pada tahun 1992, apabila gabenor California pada masa itu meminta Presiden George H.W. Bush untuk membantu bertindak balas terhadap rusuhan Los Angeles berhubung pembebasan pegawai polis yang memukul pemandu kulit hitam Rodney King.
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita