Skip to main content

Dunia

BBC rancang kurangkan 2,000 kakitangan; pemberhentian pekerja terbesar dalam 15 tahun

BBC akan mengurangkan 2,000 pekerja sedang penyiar itu berusaha mengurangkan kos sebanyak 10 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang, menurut sumber, lapor PA Media/dpa.

Anggaran Waktu Membaca:
BBC rancang kurangkan 2,000 kakitangan; pemberhentian pekerja terbesar dalam 15 tahun

Logo BBC kelihatan di luar ibu pejabat syarikat itu di London pada 12 November 2025. (Gambar: AP/Kin Cheung)

LONDON: BBC akan mengurangkan 2,000 pekerja sedang penyiar itu berusaha mengurangkan kos sebanyak 10 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang, menurut sumber, lapor PA Media/dpa.

Kakitangan dimaklumkan mengenai pemberhentian pekerja itu semasa panggilan bersama semua kakitangan pada Rabu (15 Apr), namun tiada butiran diberikan berhubung siapa yang akan terjejas, menurut Press Association.

Pengurangan itu, yang merupakan pusingan pemberhentian pekerja terbesar BBC dalam tempoh hampir 15 tahun, dilaksanakan sedang mantan ketua Google Matt Brittin bersedia mengambil alih jawatan ketua pengarah bulan depan.

Perbadanan itu juga baru-baru ini mendedahkan rancangan untuk mengurangkan secara drastik pasukan yang mengendalikan liputan acara kebangsaan rasmi seperti acara diraja dan pengebumian negara kepada hanya seorang kakitangan serta pekerja bebas.

Pada Februari, BBC memaklumkan ia akan mengurangkan perbelanjaan sebanyak ratusan juta pound dalam tempoh tiga tahun akan datang disebabkan oleh “tekanan kewangan yang besar”.

Ketika itu, perbadanan berkenaan menyatakan, ia berharap dapat menjimatkan kira-kira 10 peratus daripada kosnya menjelang 2029, namun tiada butiran diberikan berhubung perkhidmatan yang mungkin terjejas.

Ia juga mendedahkan pada Januari 2025 bahawa BBC World Service bakal mengurangkan 130 jawatan bagi menjimatkan kira-kira £6 juta (S$10.3 juta) untuk tahun kewangan berikutnya.

Sebahagian besar pembiayaan BBC diperoleh melalui yuran lesen tahunan £174.50 (S$408.65) yang dibayar oleh isi rumah di Britain yang menonton televisyen, namun penyiar itu berdepan tekanan berhubung nilai setimpal yang ditawarkan ketika bersaing dengan platform penstriman seperti Netflix dan Disney+.

Ketua pengarah BBC yang akan berundur Tim Davie meletak jawatan pada 2 April selepas mengumumkan peletakan jawatannya pada November, menyusuli beberapa tahun mencabar bagi penyiar itu.

Ketua pengarah sementara Rhodri Talfan Davies, yang dipercayai mempengerusikan mesyuarat bersama semua kakitangan itu, akan mengetuai perbadanan berkenaan sehingga Encik Brittin mengambil alih pada 18 Mei.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita