Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bazar Ramadan Rahmah di Ipoh ini tawar pelbagai juadah bawah RM5

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Bazar Ramadan Rahmah di People's Park di Ipoh menyajikan pelbagai juadah di bawah RM5 (S$1.50) dengan menu bermutu untuk para pengunjung membuat pilihan mendapatkan makanan atau minuman bagi persediaan berbuka puasa.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat 20 gerai di bazar itu yang beroperasi bermula 3.00 petang hingga 7.30 malam dengan rata-rata makanan atau minuman dijual pada harga bawah RM5, seperti Roti John, bebola daging, popia dan murtabak.

Seorang pengunjung, Helmi Zakaria, 38 tahun, berkata dia terpanggil untuk berkunjung ke bazar itu setelah dimaklumkan rakannya.

"Saya harap ia sedikit sebanyak mampu membantu peniaga di sini yang terdiri daripada peniaga kecil untuk menjana pendapatan mereka. Mungkin ramai yang masih belum mengetahui kewujudan bazar di People's Park ini dan sokongan orang ramai ditagih untuk pastikan bazar ini mendapat sambutan,” katanya.

Seorang lagi pengunjung Azrilnizam Ismail, 39 tahun, berkata bazar itu merupakan satu inisiatif kepada seluruh masyarakat di Ipoh untuk menikmati juadah berbuka puasa yang bermutu dengan harga yang berpatutan.

"Ada pelbagai menu yang ditawarkan antaranya nasi berlauk, kuih-muih, oden dan mi goreng yang ditawarkan pada harga bawah RM5. Jika ada tidak mahu bersesak-sesak maka Bazar Ramadan Rahmah People's Park adalah pilihan selain tapak bazar sedia ada di sekitar Ipoh ini," katanya.

PERLU LEBIH BANYAK HEBAHAN BAGI BAZAR RAMADAN RAHMAH

Peniaga mi goreng Mohamad Izzat Hamdi Mohamad Norhisham, 23 tahun, berkata kewujudan bazar itu memberi peluang kepadanya untuk mencari rezeki dan menganggap inisiatif yang digerakkan kerajaan itu sangat membantu para peniaga kecil. 

"Lokasi ini strategik namun saya lihat kena ada lebih banyak promosi dan hebahan dilakukan terhadap Bazar Ramadan Rahmah bagi menarik kehadiran orang ramai.

“Masyarakat sudah terbiasa apabila setiap kali tibanya Ramadan sudah ada lokasi bazar tumpuan yang akan mereka pergi, jadi bazar baru sebegini mungkin ambil masa sikit (untuk diketahui)," katanya.

Bagi peniaga tortilla, Muhammad Ezzat Rosli, 25 tahun, berkata beliau akan terus berniaga di situ hinggalah tamat bulan Ramadan dan berharap bazar itu akan mendapat sambutan yang baik daripada pengunjung.

"Buat masa ini kami peniaga di sini pun ada buat promosi melalui aplikasi TikTok dan laman media sosial yang lain, cuma masih belum cukup berkesan dan kami akan gandakan usaha," katanya.

Seorang peniaga kuih-muih Mat Fazril Mat Rabu, 31 tahun, berharap lebih ramai pengunjung dapat datang ke bazar itu dan dapat rasai perbezaan dari segi harga dan mutu juadah yang ditawarkan berbanding lokasi lain.

Pada 22 Feb lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bagi melaksanakan Bazar Ramadan Rahmah di beberapa lokasi strategik sempena bulan Ramadan ini.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan