Bazar Aidilfitri Melaka dibenar beroperasi hingga 2.00 pagi
Kerajaan negeri Melaka hari ini (25 Apr) memberi ‘lampu hijau’ kepada peniaga bazar Aidilfitri untuk beroperasi hingga pukul 2.00 pagi bermula hari ini.

(Gambar: BERNAMA)
MELAKA: Kerajaan negeri Melaka hari ini (25 Apr) memberi ‘lampu hijau’ kepada peniaga bazar Aidilfitri untuk beroperasi hingga pukul 2.00 pagi bermula hari ini.
Ketua Menterinya Sulaiman Md Ali ketika mengumumkan perkara tersebut bagaimanapun mengingatkan penganjur, peniaga dan pengunjung agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha bersama mengekang penularan COVID-19.
Beliau berkata perkara itu diputuskan kerajaan negeri hasil keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jumaat lepas, yang kini membenarkan bazar Aidilfitri di seluruh negara beroperasi hingga pukul 2.00 pagi berbanding 12.00 tengah malam, berkuat kuasa semalam (24 Apr).
Encik Sulaiman berkata ketetapan waktu operasi itu juga bergantung kepada keputusan MKN dari semasa ke semasa berdasarkan jumlah penularan kes baru.
"Jadi ia boleh dibatalkan pada bila-bila masa jika didapati pelanggaran pematuhan SOP atau kes meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Mega 2021 di Tapak Dataran MITC malam tadi.
Mengakui khuatir dengan kebenaran penambahan waktu operasi bazar Aidilfitri, Encik Sulaiman menggesa semua pihak mematuhi SOP pada setiap masa memandangkan jumlah kes di Melaka semakin meningkat.
"Bukan saja di bazar (Aidilfitri) tetapi juga di pasar Ramadan kerana saya tidak mahu apa yang berlaku di sesetengah negeri yang terpaksa membatalkan penganjuran akibat peningkatan kes, berlaku juga di Melaka.
"Sebab itu saya tekankan agar penganjur, peniaga dan pengunjung sentiasa menitikberatkan SOP," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.