Bayi perempuan 46 hari meninggal dunia disyaki didera
Seorang bayi perempuan berusia 46 hari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Gambar hiasan.
BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG: Seorang bayi perempuan berusia 46 hari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Bayi itu dipercayai didera anggota keluarganya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah hari ini (15 Feb).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata mangsa yang dilahirkan pada 30 Disember lalu itu meninggal dunia kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.
Menurut bapa mangsa, anak keduanya itu didapati enggan meminum susu sejak malam tadi dan semakin lemah pagi ini sebelum dia serta isterinya membawa bayi berkenaan ke sebuah klinik swasta di kawasan Sungai Rambai, di sana.
"Semasa di klinik itu, doktor mendapati denyutan jantung bayi berkenaan semakin lemah dan mengarahkan mereka membawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata dalam perjalanan ke hospital, bayi itu didapati tidak bergerak dan ibu bapanya berpatah balik ke klinik swasta berkenaan sebelum doktor mengesahkan anak mereka sudah meninggal dunia.
ACP Nik Ros Azhan berkata pemeriksaan awal dan imbasan X-ray yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk patah kaki.
Difahamkan terdapat beberapa kesan luka dan lebam lama di badan bayi malang itu.
Polis mengambil keterangan ibu dan bapa bayi berkenaan sebelum menahan bapa bayi itu yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat swasta bagi membantu siasatan.
"Lelaki berusia 22 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi mendapatkan perintah reman dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," kata ACP Nik Ros Azhan.
Beliau menambah bedah siasat ke atas bayi itu akan dibuat di HSJ esok (16 Feb)bagi mengetahui punca sebenar mangsa meninggal dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.