Skip to main content

Dunia

Bayi masih bertali pusat ditemui di wakaf tepi jalan

Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di sebuah wakaf di tepi jalan raya di Kampung Tayor, dekat Sungai Tong, Kuala Terengganu, pada tengah malam Selasa (28 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi masih bertali pusat ditemui di wakaf tepi jalan

(Gambar: Unsplash/Luma Pimentel)

KUALA TERENGGANU: Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di sebuah wakaf di tepi jalan raya di Kampung Tayor, dekat Sungai Tong, Kuala Terengganu, pada tengah malam Selasa (28 Dis).

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata bayi tersebut ditemui oleh dua orang pemuda yang sedang memberhentikan kereta untuk menyejukkan enjin di tepi jalan pada pukul 12.45 tengah malam.

“Sewaktu berhenti di lokasi kejadian, saksi telah terdengar suara tangisan yang pada awalnya disangka suara kucing namun setelah dilihat secara dekat, ia adalah bayi dan mereka terus melarikan diri kerana ketakutan dan menyangka diganggu makhlus halus,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Encik Afandi berkata pada pukul 6.00 pagi Selasa, dua pemuda tersebut kembali semula ke lokasi kejadian dan mendapati bayi itu masih berada di sana.

Beliau menambah bayi tersebut dijumpai dengan hanya beralaskan kain tudung dan dua pemuda itu terus membawanya ke rumah anggota keluarga rakan mereka sebelum melaporkan kepada polis.

Bayi yang ditemui di lokasi lebih kurang satu kilometer dari kawasan penempatan penduduk itu didapati berada dalam keadaan kesejukan, mempunyai kesan darah dan masih bertali pusat, kata Encik Afandi.

Bayi seberat tiga kilogram itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh beberapa jam sebelum ditemukan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bayi tersebut telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, untuk tindakan susulan,” menurut Encik Afandi.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita