Bayi kembar Orang Asli selamat dilahirkan dalam bot ambulans
Gambar: Jabatan Kesihatan Negeri Perak FB
IPOH: Seorang wanita Orang Asli selamat melahirkan bayi kembar di atas bot ambulans ketika melalui Tasik Banding untuk dibawa ke Hospital Gerik, pada Sabtu (15 Jan).
Bayi kembar itu dilahirkan ketika anggota kesihatan Klinik Pos Kemar sedang berusaha membawa seorang wanita berusia 31 tahun, dengan usia kandungan 35 minggu, ke hospital kerana dikesan mengalami sakit bersalin oleh Jururawat Masyarakat yang membuat lawatan ke rumahnya.
Jabatan Kesihatan Negeri Perak menerusi laman Facebook rasminya hari ini (19 Jan) berkata dengan tindakan pantas anggota kesihatan, ibu tersebut selamat melahirkan bayi kembar dengan berat 2.4 kilogram (kg) dan 1.3 kg.
Menurut kenyataan itu, kesemua mereka sudah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi menjalani rawatan susulan namun tidak dimaklumkan jantina bayi kembar berkenaan.
"Tanggal 15 Jan merupakan detik bersejarah kepada anggota kesihatan Klinik Pos Kemar yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Jururawat Kesihatan, Jururawat Masyarakat dan Penolong Perawatan Kesihatan yang berjaya menyambut kelahiran bayi kembar itu.
"Moga ibu dan kedua-dua bayinya sihat dan selamat. Terima kasih juga kepada pemandu bot yang bertugas," menurut kenyataan itu.
Pos Kemar merupakan kawasan perkampungan Orang Asli di Gerik dan penduduknya menggunakan bot sebagai pengangkutan utama untuk keluar dan masuk manakala perjalanan dari penempatan itu ke Hospital Gerik mengambil masa selama kira-kira dua jam menggunakan laluan air dan darat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.