Skip to main content

Dunia

Bayi kecil antara 10 maut dalam kemalangan 3 kereta, treler di lebuhraya M'sia

Seorang wanita dan 8 anaknya, termasuk seorang bayi 10 bulan, antara yang terkorban dalam kemalangan malam semalam.

Anggaran Waktu Membaca:
 Bayi kecil antara 10 maut dalam kemalangan 3 kereta, treler di lebuhraya M'sia

Treler terlibat dalam kemalangan dengan tiga kereta di lebuhraya ELITE di M'sia pada 17 Dis 2021 (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Seramai 10  individu maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta dan sebuah treler di kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya ELITE menghala Shah Alam, pada Jumaat malam (17 Dis).

Mangsa yang meninggal dunia ialah lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan serta seorang  lelaki dan seorang wanita.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.

Beliau berkata sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 11.42 malam tadi untuk operasi menyelamat.

"Nahas berkenaan melibatkan 17 mangsa yang 10 daripadanya disahkan meninggal dunia. Mangsa yang maut adalah seorang lelaki dan seorang wanita manakala lapan lagi membabitkan lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan pagi ini (18 Dis).

Encik Norazam berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Norul Naziah Buyong, 37 tahun, dan lapan anaknya iaitu bayi lelaki berusia 10 bulan, Muhammad Raid Fathi Abd Razak, Puteri Nur Ain Syalwana Abd Razak, 3 tahun; Muhammad Hidayat Hakimie Abd Razak, 7 tahun; Muhamad Rolkaizat Rezky Abd Razak, 9 tahun; Muhamad Aizat Syazwan Abd Razak, 10 tahun; Puteri Hidayah Abd Razak, 12 tahun; Razatul Aliah Abd Razak, 16 tahun;  Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17 tahun.

Seorang lagi yang maut ialah mekanik Mohamad Rahimibin Rolex berusia 27 tahun.

“Mangsa yang cedera suami kepada Norul Naziah dikenali sebagai Abd Razak Majit, 50 tahun; dan sepupu mereka Mimie Nafiesa Abdullah, 19 tahun; Ihyat Sufi Shokip serta Ummi Nasuha Annuwar masing-masing berusia 20 tahun,” katanya.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Beliau berkata individu yang menaiki treler tidak mengalami sebarang kecederaan dikenali sebagai Mohd Khairol Kamal Abdullah, 45 tahun; serta dua anaknya Haiqal Haziq, 19 tahun; dan Hafiey Hamziey, 14 tahun.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita