Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bayi ditemui dalam mangkuk tandas terminal bas di Malaysia

Seorang bayi lelaki ditemui mati di dalam tandas di sebuah terminal bas di Pahang, Malaysia hari ini (23 Sep) setelah seorang pekerja pembersihan melihat mangkuk tandas itu tersumbat dan berdarah.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi ditemui dalam mangkuk tandas terminal bas di Malaysia

Petikan gambar Terminal Bas Kuantan dari Google Street View.

Diterbitkan : 23 Sep 2019 08:33PM Dikemas Kini : 23 Sep 2019 08:35PM

KUANTAN: Seorang bayi lelaki ditemui mati di dalam tandas di sebuah terminal bas di Pahang, Malaysia hari ini (23 Sep) setelah seorang pekerja pembersihan melihat mangkuk tandas itu tersumbat dan berdarah.

Polis sedang menjejaki suspek wanita, yang dilihat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) memasuki tandas di terminal bas di Kuantan itu pada sekitar jam 6 pagi, sambil membawa beg bagasi.

"Suspek kelihatan memakai baju berwarna hitam ketika memasuki tandas, namun 30 minit kemudian, suspek kelihatan berpakaian baju kurung apabila keluar daripada tandas itu," kata Ketua Polis Daerah Kuantan, Mohamad Noor Yusof Ali.

Mayat bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan itu ditemui pada sekitar jam 9 pagi di tandas di Terminal Bas Kuantan Sentral yang ditutup sejak Khamis lalu bagi kerja-kerja penyenggaraan dan naik taraf.

Pemandu teksi Wan Subhu Wan Jusoh berkata beliau bersama kawan-kawannya apabila pekerja pembersihan itu memekik minta pertolongan, sambil berkata tandas itu tersumbat dan darah melimpah.

"Mengepam tandas itu menyebabkan air melimpah keluar," kata pemandu teksi berusia 54 tahun itu.

"Pada mulanya, kita fikir seseorang telah buang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas, namun apabila diperiksa, kelihatan tali pusat. Salah seorang daripada kita menggunakan seutas wayar untuk mengeluarkan tali pusat itu."

"Walaupun setelah mengeluarkan (tali pusat itu), tandas itu tetap tersumbat dan kita mengesyaki mungkin ada bayi yang terperangkap di dalamnya," kata beliau lagi.

Mereka kemudian menghubungi polis.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

Siasatan sedang dijalankan.

Sumber : Bernama/HA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan