Bayi dilahirkan tanpa bola mata perlu keluarga angkat; ibu kandung tidak mampu jaga
Pihak perubatan di Serbia kini sedang mencari penjaga sesuai untuk mengasuh dan membesarkan seorang bayi yang disifatkan sebagai sentiasa tersenyum tetapi dilahirkan tanpa mata.

(Gambar fail: Kelly Sikkema/Unsplash)
SERBIA: Pihak perubatan di Serbia kini sedang mencari penjaga sesuai untuk mengasuh dan membesarkan seorang bayi yang disifatkan sebagai sentiasa tersenyum tetapi dilahirkan tanpa mata.
Doktor memberitahu, bayi bernama Little Alexander K atau Sasha itu, dilahirkan sihat cuma dia tidak mampu melihat.
Menurut pihak perubatan, Sasha adalah salah seorang daripada tiga bayi di dunia yang dilahirkan tanpa bebola mata. Ibu si comel itu dibesarkan di sebuah rumah anak yatim, lapor Daily Star, dan beliau memutuskan untuk menyerahkan anaknya itu ke dalam jagaan orang lain.
Hasrat itu diluahkan oleh ibu muda tersebut sewaktu Sasha masih lagi dalam kandungannya kerana beliau bimbang tidak mampu untuk membesarkan anaknya seperti ibu-ibu lain.
Bayi yang dilahirkan di Tomsk, Siberia, pada April lalu itu kini dalam asuhan seorang jururawat.
Beliau berkongsi: "Tiada beza dia dengan kanak-kanak lain. Dia bermain dan senyum seperti mana-mana bayi yang sihat".
"Dia suka bermain dan minat berenang. Sebenarnya, dia seorang bayi yang sangat ceria," ujar jururawat tersebut seperti ditukil Daily Star.
Keadaan perubatan bayi berusia enam bulan itu dirujuk sebagai SOX2 anophthalmia iaitu sejenis gangguan yang jarang-jarang berlaku.
Pihak penjagaan anak angkat menyatakan: "Ibunya menandatangan surat keenggan menjaga Sasha di hospital bersalin".
"Tiada maklumat mengenai bapa Alexander dan terdapat ruang kosong pada sijil kelahirannya untuk nama bapa.
"Alexander kini sedia untuk dijadikan anak angkat."
Akhbar The Siberian Times melaporkan Sasha dterbangkan ke St Petersburg, Rusia, baru-baru ini untuk menjalani pembedahan memasukkan bebola mata kecil supaya wajah si cilik itu tidak terjejas apabila dewasa kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.