Bayi dibakar hidup-hidup oleh datuk, nenek yang mabuk
Harapkan pagar, pagar makan padi. Lebih menyakitkan lagi, ibu bapa sendiri yang membunuh anak tersayang dengan cara yang amat kejam sekali.
(Gambar hiasan: Luma Pimental/Unsplash)
KHAKASSIA: Harapkan pagar, pagar makan padi. Lebih menyakitkan lagi, ibu bapa sendiri yang membunuh anak tersayang dengan cara yang amat kejam sekali.
Cik Viktoria, 20 tahun, meninggalkan anaknya dengan ibu bapanya. Ketika beliau pulang, beliau terperanjat melihat mayat anaknya rentung dalam dapur rumah yang terletak di kampung Kharoy.
Jiran mereka, Evgeniy Borgoyakov, memberitahu Metro UK bahawa datuk bayi tersebut mabuk selepas meminum minuman keras. Apabila dia pulang ke rumah, bayi itu disumbat ke dalam dapur arang.
Encik Evgeniy menambah: "Kami dengar dia pulang ke rumah dan kemudian menyumbat bayi itu ke dalam dapur arang. Selepas itu kami tidak mendengar apa-apa lagi."
Satu kenyataan dari Jawatankuasa Siasatan daerah yang menjalankan siasatan terhadap kes tersebut menyatakan: "Nenek dan datuk bayi itu mabuk dan mereka membunuhnya."
"Seorang anggota keluarga menemui mayat bayi itu dalam keadaan begitu teruk akibat suhu tinggi dalam dapur arang tersebut."
Punca sebenar kematian masih lagi disiasat tetapi bayi itu dipercayai mati akibat kelecuran sangat teruk selepas dibakar hidup-hidup, lapor Metro UK.
Nenek, 42 tahun, dan datuknya, 47 tahun, sudah ditahan atas tuduhan "membunuh dengan sengaja seseorang yang lemah", menurut pihak berkuasa.
Menerusi catatan di laman media sosial, ibu mangsa meluahkan perasaan sedihnya selepas kehilangan bayi tersayang.
Saudara mereka, Cik Natalia Sagatayva memberitahu Metro UK bahawa kedua-dua suspek sering menjaga bayi itu setiap kali ibunya terpaksa meninggalkannya.
"Saya tidak percaya perkara ini boleh berlaku. Mereka sering menjaganya dengan baik. Bagaimana ini boleh terjadi?," kata Cik Natalia.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek berdepan dengan hukuman mati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.