Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bayi berusia 4 bulan koma dipercayai didera pengasuh

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi berusia 4 bulan koma dipercayai didera pengasuh

(Gambar: sippakorn yamkasikorn/Unsplash)

KUALA TERENGGANU: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai didera pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Burok pada Rabu lalu.

Bayi tersebut yang mengalami kecederaan serius iaitu pendarahan di dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ketua Polis Terengganu, Rohaimi Md Isa berkata, kejadian disedari bapa mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pegawai perubatan ketika mengambil bayinya di pusat jagaan tersebut.

"Mangsa didapati berada dalam keadaan lemah dan kesakitan lalu dibawa ke hospital.

"Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat darah beku dalam kepala bayi itu dan bapa mangsa membuat aduan polis pada hari sama," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Terengganu pada Selasa (9 Jan).

Menyusuli laporan itu kata Rohaimi, pihaknya sudah memanggil pengasuh pusat jagaan terbabit untuk membantu siasatan, namun menafikan berlaku penderaan selain memberikan keterangan meragukan.

Bagaimanapun katanya, siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek memukul bahagian kepala mangsa dengan tangan, menghempas dan menggoncang tubuh mangsa.

Jelas beliau, mangsa baru sahaja didaftarkan di pusat jagaan kanak-kanak itu selama tiga hari sebelum kejadian berlaku.

"Susulan itu, polis telah menyerbu pusat jagaan kanak-kanak itu pada Isnin dan menahan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu kesalahan menganiaya atau mencederakan kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya kepada Sinar Harian. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan