Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bayi baru lahir ini ditinggal depan surau

Gerak hati seorang penjaga tandas ingin memeriksa surau di Pantai Teluk Cempedak pada sebelah pagi Selasa (22 Mac), membawa kepada penemuan seorang bayi lelaki yang diletakkan di dalam sebuah kotak di depan surau itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi baru lahir ini ditinggal depan surau

Seorang bayi lelaki yang diletakkan di dalam sebuah kotak ditemui di depan surau di Kuantan. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Mar 2019 05:46PM Dikemas Kini : 22 Mar 2019 05:50PM

KUANTAN: Gerak hati seorang penjaga tandas ingin memeriksa surau di Pantai Teluk Cempedak pada sebelah pagi Selasa (22 Mac), membawa kepada penemuan seorang bayi lelaki yang diletakkan di dalam sebuah kotak di depan surau itu.

Bayi itu dipercayai baru dilahirkan dengan tali pusatnya sudah dipotong dan dijumpai oleh Zahidah Abd Rashid pada sekitar 10.00 pagi.

Cik Zahidah berkata ketika beliau hendak memulakan tugas pagi tadi (22 Mac), beliau tergerak hati untuk memeriksa tandas dekat surau untuk memastikan pintunya berkunci atau tidak.

"Biasanya saya tidak periksa surau pada masa macam hari ini tetapi pagi ini, saya berasa hendak pergi ke situ dan berasa pelik apabila ternampak sebuah kotak ditinggalkan di depan surau.

"Apabila saya menghampirinya, terdengar bunyi dari arah dalam kotak tersebut dan saya sangkakan mungkin orang membuang anak kucing di situ. Namun saya berasa amat terkejut apabila kotak itu dibuka, didapati dalamnya terdapat seorang bayi.

"Ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan (saya), badan saya jadi menggigil dan panik sebentar sebelum bertindak memanggil rakan sekerja yang lain," katanya kepada agensi berita Bernama hari ini (22 Mac).

Menurutnya, seorang daripada rakan beliau kemudian menghubungi polis untuk melaporkan penemuan bayi itu.

Cik Zahidah berkata beliau sempat memeriksa bayi itu sebelum polis tiba dan mendapati bayi itu dalam keadaan bersih dan hanya ada sedikit tompokan darah di sekitar bahagian tali pusatnya.

"Saya rasa orang yang buang bayi ini tahu kawasan Teluk Cempedak ini tidak ramai pengunjung pada awal pagi kerana hari bekerja, sebab itu kawasan ini dipilih," katanya yang baru sebulan bekerja di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi itu.

"Bayi itu ditemui dalam keadaan bersih, cukup sifat dan sihat dan dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam.

"Ketika ditemui bayi itu diletakkan di dalam kotak yang beralaskan kain batik serta dibalut dengan sehelai tuala dan dia telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan lanjut ," katanya. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan