Bayi 4 bulan meninggal dunia selepas diambil dari Taska
Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia beberapa jam selepas diambil dari sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska).

Muhammad Akif Iskandar Meor Ikram dikatakan baru sebulan dihantar ke taska. (Gambar: BERNAMA)
IPOH: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia beberapa jam selepas diambil dari sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska).
Meor Ikram Addnan, 32 tahun, berkata anaknya Muhammad Aakif Iskandar disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun kira-kira 6.55 petang kelmarin (8 Mac).
Encik Ikram menambah, beliau menghantar anaknya ke hospital berkenaan setelah dimaklumkan oleh pengasuh bahawa anak bongsu daripada tiga beradik itu lemah dan tidak bermaya pada sekitar 6.00 petang.
“Masa saya ambil anak di taska kira-kira 6.10 petang, anak saya dah tak sedar, badan lembik, kaki tangan semua pucat. Saya terus bawa ke bahagian kecemasan HRPB.
“Doktor mencuba sedaya upaya untuk selamatkan anak saya tetapi denyut nadi, jantung otak semua dah berhenti dan anak saya disahkan meninggal dunia kira-kira 6.55 petang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik semalam (9 Mac).
Menurutnya anak bongsunya itu berada dalam keadaan sihat dan hanya hidung berair kerana selesema sebelum dihantar ke taska berkenaan.
Encik Ikram turut menghantar anak keduanya yang berusia setahun ke taska itu sementara anak sulungnya, perempuan berusia lima tahun.
“Selama saya hantar kedua-dua anak saya ke taska itu, saya periksa tiada kesan lebam," katanya sambil menambah bahawa beliau mula menghantar Muhammad Aakif Iskandar sejak sebulan lalu, selepas isterinya Ismahani Zainal Abidin, 30 tahun, seorang pekerja bank kembali bekerja setelah habis cuti bersalin.
Beliau yang bekerja sebagai penjaga stor di sebuah pasar raya, turut meluahkan rasa terkilan kerana pengasuh lewat memberitahu keadaan anaknya.
Allahyarham Muhammad Aakif Iskandar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Larang selepas solat zuhur semalam (9 Mac).
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Adli Tamby mengesahkan menerima laporan kejadian daripada bapa bayi berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.