Bayi 12 bulan antara 18 mangsa terselamat dalam kebakaran di Alor Setar
ALOR SETAR: Bayi berusia 12 bulan antara 18 mangsa yang terselamat dalam kebakaran dua rumah di Jalan Dato Haji Shuib 2, Taman Sri Taman 2 di Alor Setar pada Selasa (28 Jun).
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 5.54 petang Selasa (28 Jun).
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja telah ke lokasi kejadian. Berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat 18 orang mangsa yang terdiri daripada dewasa, kanak-kanak serta bayi berada di dalam dua rumah jenis kayu yang sedang terbakar itu.
“Anggota bomba berjaya mengeluarkan sembilan mangsa dari rumah pertama yang terbakar kira-kira 95 peratus. Kesemua mangsa yang mendapat rawatan awal telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, kerana mengadu sesak nafas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa malam (28 Jun).
Beliau berkata pasukan penyelamat yang meneruskan kerja menyelamat telah menemui dua lagi mangsa yang terperangkap dalam rumah kedua yang yang terbakar kira-kira lima peratus itu.
“Tujuh lagi mangsa telah berjaya keluar dengan sendiri dan turut musnah dalam kebakaran itu adalah empat motosikal. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.15 malam,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.