Skip to main content

Dunia

Bawang 'besar kemungkinan' punca wabak E. coli McDonald's di Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
Bawang 'besar kemungkinan' punca wabak E. coli McDonald's di Amerika

(Gambar: AFP/Michael M. Santiago)

Diterbitkan : 31 Oct 2024 10:35AM Dikemas Kini : 31 Oct 2024 11:42AM
ATLANTA: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika menyatakan pada Rabu (30 Okt) bahawa hirisan bawang yang dihidangkan pada burger Quarter Pounder McDonald's dan bahan-bahan dalam menu berkemungkinan menjadi punca wabak E. coli yang menyebabkan 90 orang jatuh sakit.

Wabak yang dikaitkan dengan Quarter Pounder mula-mula dilaporkan pada 22 Okt dan hirisan bawang disyaki menjadi punca jangkitan.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika (FDA) dan syarikat itu telah mengesahkan bahawa Taylor Farms adalah pembekal untuk lokasi cawangan-cawangan McDonald's yang terjejas, dan sejak itu ia sudah menarik balik sejumlah bawang yang dihasilkan di kemudahan di Colorado.

FDA pada Rabu menyatakan bahawa ia sudah memulakan pemeriksaan di pusat pemprosesan Taylor Farms di Colorado, wilayah di mana 29 orang jatuh sakit akibat wabak itu.

Seorang penanam bawang di Washington juga sedang disiasat, tambah FDA.

Menurut CDC, bilangan orang yang dijangkiti wabak itu sudah meningkat sebanyak 15 orang daripada 75 orang dan 27 yang dimasukkan ke hospital akibat penyakit itu, yang telah meragut nyawa seorang individu.

Pada Ahad, syarikat itu bersama-sama dengan Jabatan Pertanian Colorado juga menolak kemungkinan 'patties' daging lembu menjadi punca wabak itu.

Varian E. coli O157:H7 yang membawa kepada wabak McDonald's dikatakan menyebabkan "penyakit yang sangat serius," terutamanya bagi orang tua, kanak-kanak dan orang yang mengalami gangguan imun.

FDA menyatakan bahawa simptom bermula dari beberapa hari selepas mengambil makanan yang tercemar atau sehingga sembilan hari kemudian.

Setakat 30 Oktober, wabak itu menjejas Colorado, Kansas, Utah, Wyoming, Iowa, Missouri, Montana, Nebraska, New Mexico, Oregon, Wisconsin, Washington dan Michigan.

"Semakin banyak kes ini timbul dalam berita, semakin sukar untuk McDonald's menjalankan siasatan," kata Jim Sanderson, penganalisis dengan Northcoast Research.

McDonald's menyatakan bahawa ia akan meneruskan penjualan burger Quarter Pounder minggu ini selepas ia mengeluarkan sementara burger tersebut daripada menu di satu perlima daripada 14,000 restoran Amerika yang terjejas.

Pada Selasa, eksekutif syarikat itu menepis sebarang potensi bahawa penjualan syarikat tersebut terjejas akibat wabak itu, dengan Ketua Pegawai Eksekutif Chris Kempczinski memohon maaf kepada pelanggan dan menegaskan bahawa beliau "yakin terhadap keselamatan makanan di McDonald's."
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita