Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Batik Air mohon maaf selepas 2 penerbangan tergendala akibat cuaca buruk

Anggaran Waktu Membaca:
Batik Air mohon maaf selepas 2 penerbangan tergendala akibat cuaca buruk

Beberapa pengguna menggunakan media sosial untuk meluahkan rasa tidak puas hati selepas penerbangan mereka ditangguh bagi tempoh waktu yang lama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur minggu lalu. (Gambar: Twitter/Firdausjailan)

KUALA LUMPUR: Dua penerbangan Batik Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuching, Sarawak dan Trichy, India pada 22 Disember lalu, terganggu akibat perubahan cuaca dan masalah teknikal pada pesawat.

Dalam satu kenyataan pada Selasa (27 Dis), syarikat itu menyatakan, sebaik mengesan situasi cuaca buruk, penerbangan itu sudah dijadualkan semula.

Jelasnya lagi, Prosedur Operasi Standard (SOP) juga sudahpun dijalankan oleh kru teknikal dan jurutera Batik Air yang terlatih untuk memastikan pesawat dapat terbang dengan selamat.

“Batik Air amat menitikberatkan keselamatan penumpang. Kami telah mengambil langkah tambahan untuk memastikan operasi penerbangan kembali lancar dan insiden yang terjadi itu amat dikesali."

“Kami langsung tiada niat untuk menyebabkan gangguan penerbangan terus berpanjangan dan kami memberi jaminan kepada orang awam bahawa situasi itu telah ditangani dan operasi kembali seperti biasa,” menurut kenyataan itu lagi, lapor agensi berita Astro Awani.

Beberapa pengguna menggunakan media sosial untuk meluahkan rasa tidak puas hati selepas penerbangan dari KL-Kuching ditangguh lebih lapan jam dari 11.00 malam kepada 6.00 pagi.

Seorang pengguna yang dikenali sebagai Mohd Firdaus Jailan mendakwa, syarikat penerbangan itu langsung tidak mengendahkan kebajikan penumpang yang terpaksa menunggu di lapangan terbang.

Menyusuli perkongsian itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata syarikat penerbangan itu akan menghubungi semua penumpang yang 'tersadai' di lapangan terbang bagi memohon maaf selepas penerbangan mereka tergendala.

Dalam pada itu, Batik Air turut mendedahkan bahawa punca utama kejadian itu masih dalam siasatan dan sebarang kelemahan akan diperbaiki untuk meningkatkan taraf penyampaian perkhidmatan pelanggan mereka.

“Sebagai tanda kekesalan, Batik Air akan menghubungi kesemua penumpang terlibat untuk menyampaikan baucar kepada mereka."

“Kami amat menyesali gangguan yang terjadi sehingga menyebabkan penerbangan itu tergendala dan mengakibatkan kerumitan kepada pelanggan serta ahli keluarga mereka,” menurut kenyataan itu lagi, lapor agensi berita Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan