Skip to main content

Dunia

Basikal Raleigh Chopper Sultan Ibrahim antara tarikan utama pameran Muzium Negara Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Basikal Raleigh Chopper Sultan Ibrahim antara tarikan utama pameran Muzium Negara Malaysia

Basikal Raleigh Chopper yang dipamerkan pada Pameran Raja Kita di Muzium Negara. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Basikal Raleigh Chopper dibeli oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika zaman kanak-kanak menggunakan wang beliau sendiri adalah antara tarikan istimewa Pameran Raja Kita yang berlangsung di Muzium Negara Malaysia bermula Jumaat (26 Jul).

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Kamarul Baharin A. Kasim berkata basikal berkenaan merupakan antara koleksi peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan ia dibawa khas dari Johor khusus untuk pameran berkenaan.

Beliau berkata Jabatan Muzium Malaysia amat teruja kerana Sultan Ibrahim telah memberi perkenan agar pelbagai barangan peribadi beliau yang mempunyai kisah serta nostalgia tersendiri dipertontonkan kepada rakyat termasuk pengunjung antarabangsa.

“Basikal itu antara barangan utama yang dibeli oleh Tuanku (Sultan Ibrahim), pastinya mempunyai nilai sentimental kepada Tuanku, kerana ia dibeli sendiri oleh Sultan Ibrahim ketika zaman kanak-kanak hasil daripada menjual botol dan besi buruk,” katanya kepada Bernama.

Pameran Raja Kita di Galeri 1 dan 2 di Muzium Negara Malaysia dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Khamis.

Dibuka kepada orang ramai sehingga 29 September, Pameran Raja Kita adalah sebahagian daripada acara yang disusun bersempena dengan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sabtu lalu.

Kisah Raleigh Chopper itu pernah dikongsikan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam catatan Facebook rasmi Sultan Ibrahim pada 11 Sept 2015 dan beliau menyifatkan basikal berkenaan sebagai "cinta pandang pertama".

Beliau berkongsi bahawa ayahnya Sultan Iskandar Ismail tidak memanjakan anaknya itu dengan duit, oleh itu, Sultan Ibrahim mengambil keputusan berusaha mencari wang untuk membeli basikal idamannya.

“Saya sendiri tidak berani untuk meminta duit daripada Almarhum. Saya mahukan sangat basikal yang berharga RM120 (S$35) itu, tetapi tidak berani untuk meminta daripada Almarhum. Maka, saya berfikir cara mencari duit sendiri untuk membeli basikal Chopper itu,” kata beliau.

Selepas tiga bulan berusaha mengumpulkan botol dan besi buruk di pekarangan istana dan memperoleh wang hasil menjual barangan itu, Sultan Ibrahim akhirnya dapat membeli basikal idaman.

“Untuk tiga bulan, saya kutip botol dan besi buruk di pekarangan istana. Botol dan besi buruk itu saya jual pula kepada orang karung guni. Satu botol lima sen, satu kati besi buruk tiga sen.

“Rasanya sangat puas, (basikal) disimpan di dalam bilik tidur saya dan hari-hari saya polish (gilap). Satu hari, Almarhum (Sultan Iskandar) bertanya mana saya dapat duit beli Chopper itu, dan saya ceritakan. Almarhum tahu saya pandai cari duit sendiri.

“Apa yang penting ialah hasil titik peluh, inisiatif dan ketekunan, walaupun kena kutip botol dan besi buruk sekalipun, ia tetap satu usaha menuju kejayaan,” kata Sultan Ibrahim dalam perkongsian berkenaan.

Selain basikal itu, motosikal Harley Davidson bercorak belang harimau yang sering digunakan Sultan Ibrahim dalam siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) dan program Minggu Permotoran Malaysia 2013 turut dipamerkan.

Turut menjadi tarikan pada pameran itu, kereta beroda tiga Morgan buatan British yang direka khas bersempena dengan KMJ 2017 mengikut spesifikasi Sultan Ibrahim ketika menjelajah ke beberapa daerah di Johor.

Kenderaan unik berwarna hijau pucuk pisang, tidak berpintu dan tanpa bumbung itu diletakkan di tengah-tengah galeri pameran yang turut menempatkan beberapa koleksi peribadi lain Sultan Ibrahim serta Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Menerusi pameran itu juga, para pengunjung berpeluang melihat Mahkota Kerajaan Johor dan Mahkota Permaisuri yang digunakan semasa Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor pada 2015 dan kali pertama ia dibawa keluar dari negeri berkenaan.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita