Bashar al-Assad dijatuhi hukuman mati tanpa kehadirannya di mahkamah Syria
Rakyat Syria membawa gambar saudara-mara mereka, yang terbunuh semasa perang saudara di negara itu, ketika mereka meraikannya di hadapan Istana Kehakiman selepas prosiding mahkamah, di Damsyik, pada 11 Ogos 2026. (Gambar: AFP/Bakr Alkasem)
- Mahkamah Syria menjatuhkan hukuman mati ke atas Bashar al-Assad, Maher al-Assad dan Atef Najib atas jenayah pembunuhan, penyeksaan serta penahanan sewenang-wenangnya semasa perang saudara.
- Assad dan Maher dihukum tanpa kehadiran mereka, manakala Najib, yang ditahan awal 2025, dibicarakan secara bersemuka.
- Keputusan ini diraikan oleh rakyat di Damsyik dan Deraa, dengan pihak berkuasa baharu Syria menyifatkannya sebagai langkah keadilan peralihan.
- Namun, sesetengah pihak bimbang hukuman mati ini menyukarkan penyerahan tertuduh ke Syria untuk menghadapi keadilan.
Ia merupakan sabitan pertama Syria terhadap Assad, yang digulingkan dalam serangan pemberontak pada Disember 2024 yang menamatkan pemerintahan keluarganya selama beberapa dekad di Syria serta perang yang mengorbankan ratusan ribu rakyat Syria.
Rakyat Syria berkumpul di sekitar mahkamah di Damsyik sambil melaungkan sorakan, bertepuk tangan dan mengibarkan bendera Syria apabila berita mengenai hukuman itu tersebar.
Assad melarikan diri dari ibu negara Damsyik ketika para pemberontak semakin mara hampir dua tahun lalu, dan dia kini berada di Rusia, tempat beliau dan keluarganya diberikan suaka atas dasar kemanusiaan.
PEGAWAI KESELAMATAN DIBICARAKAN SECARA BERSEMUKA
Seorang hakim menjatuhkan hukuman mati terhadap mantan presiden Syria itu atas jenayah "pembunuhan terancang dan disengajakan terhadap lebih daripada seorang termasuk kanak-kanak, penyeksaan, penahanan sewenang-wenangnya dan jenayah terhadap kemanusiaan".
Hakim itu menjatuhkan hukuman sama terhadap saudara lelaki Assad, Maher, juga tanpa kehadirannya.
Maher telah mengetuai Divisyen Berperisai Ke-4, yang bertanggungjawab mengekang bantahan dan merampas semula wilayah Syria bagi pihak Assad.
Hukuman mati turut dijatuhkan terhadap Atef Najib, pegawai keselamatan era Assad di wilayah Deraa di selatan, tempat bantahan pertama terhadap Assad tercetus pada 2011.
Najib, sepupu keluarga Assad, ditahan pasukan keselamatan Syria pada awal 2025 dan merupakan satu-satunya tertuduh yang dibicarakan secara bersemuka.
HUKUMAN DIRAIKAN WALAUPUN ADA KERAGUAN
Di Deraa, orang ramai turut berkumpul untuk meraikan keputusan itu sambil membawa gambar mereka yang ditahan atau dibunuh sepanjang perang, termasuk Hamza al-Khatib, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang menurut aktivis ditahan pasukan keselamatan Syria, kemudian diseksa dan dibunuh.
Hukuman itu dijatuhkan selepas proses perbicaraan hampir empat bulan, yang digambarkan pihak berkuasa baharu Syria pimpinan Islamis sebagai tanda negara itu mengutamakan keadilan peralihan untuk beralih daripada pemerintahan Assad.
Namun, sesetengah pihak berkata hukuman mati itu akan mengurangkan kemungkinan Assad dan tertuduh yang lain dihantar pulang untuk berdepan keadilan di negara asal mereka.
"Terdapat masalah besar, iaitu tiada siapa akan menyerahkan penjenayah kepada negara yang menjatuhkan hukuman mati. Ini akan menutup jalan bagi Assad dan ramai penjenayah lain daripada diserahkan kepada Syria," kata Anwar al-Bunni, ketua Pusat Kajian dan Penyelidikan Undang-Undang Syria.
DIGULINGKAN DALAM SERANGAN PANTAS
Assad, yang dilahirkan pada 1965, menjadi presiden pada 2000 selepas bapanya, Hafez, meninggal dunia.
Pemerintahannya dibentuk oleh perang yang tercetus berikutan kebangkitan Arab Spring 2011, apabila rakyat Syria yang menuntut demokrasi mengadakan bantahan di jalan-jalan raya sebelum ditentang dengan tindakan kekerasan oleh pasukan keselamatannya.
Namun pada 2024, para pemberontak yang dipimpin Presiden Syria sekarang, Ahmed al-Sharaa, mara merentasi Syria dalam serangan pantas yang berlangsung kurang dua minggu.
Assad sudahpun berdepan waran tangkap di Perancis berhubung pengeboman sebuah pusat media di Homs pada 2012.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.