Skip to main content

Dunia

Bashar al-Assad anggap pemimpin baharu Syria sebagai 'pengganas'

Anggaran Waktu Membaca:
Bashar al-Assad anggap pemimpin baharu Syria sebagai 'pengganas'
Diterbitkan : 17 Dec 2024 09:19AM Dikemas Kini : 17 Dec 2024 09:20AM
DAMSYIK: Presiden Bashar al-Assad mendakwa bahawa beliau melarikan diri dari Syria selepas Damsyik jatuh dan menyifatkan pemimpin baharu negara itu sebagai 'pengganas.'

"Meninggalkan Syria bukanlah dirancang dan ia tidak berlaku pada saat-saat akhir pertempuran seperti yang didakwa," kata Encik Assad dalam kenyataan pertama yang disiarkan melalui wadah Telegramnya.

"Saya kekal di Damsyik, menjalankan tugas saya sehingga awal pagi 8 Disember," tambah Encik Assad.

Ia merupakan kenyataan pertama beliau sejak pasukan pemberontak merampas ibu negara Syria pada 8 Disember lalu.

Sebuah pakatan pemberontak yang dipimpin oleh kumpulan pejuang Islam melancarkan serangan kilat dari kubu mereka di barat laut Syria pada 27 November, dengan pantas merampas bandar-bandar utama dari kawalan pemerintah dan menawan ibu negara pada 8 Disember.

"Apabila pasukan pengganas menyusup ke Damsyik, saya berpindah ke Latakia dengan koordinasi bersama sekutu Rusia untuk memantau operasi tempur," kata Encik Assad sambil menambah beliau tiba di pangkalan Hmeimim, Rusia pada 9 Disember pagi.

"Ketika situasi di lapangan semakin meruncing, pangkalan tentera Rusia turut diserang dengan serangan dron yang dipertingkatkan," katanya.

Justeru, Mosko, katanya, meminta agar pihak komando mengatur pemindahan segera Encik Assad ke Rusia pada malam 8 Disember lalu.

Sebelum ini, lima bekas pegawai memberitahu AFP, beberapa jam sebelum pasukan pemberontak merampas Damsyik dan menggulingkan pemerintah Encik Assad, mantan presiden Syria itu sudah berada di luar negara.

Menurut mereka, pada malam sebelumnya, Encik Assad meminta penasihat rapatnya menyediakan ucapan - yang tidak pernah disampaikan oleh pemimpin yang digulingkan itu - sebelum terbang dari lapangan terbang Damsyik ke pangkalan udara Hmeimim di Rusia, dan dari situ beliau keluar dari negara terbabit.

"Apabila negara jatuh ke tangan pengganas dan kemampuan untuk memberi sumbangan bermakna hilang, mana-mana kedudukan menjadi tidak bermakna," tambah kenyataan itu.

Encik Assad menggelar kumpulan yang menentang pemerintahannya sebagai 'pengganas'.

Kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) disifatkan sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat.

Berasal dari cabang Al-Qaeda di Syria, HTS memutuskan hubungan dengan kumpulan itu pada 2016 dan berusaha untuk melunakkan imej mereka.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, Amerika Syarikat dan Britain menjalin hubungan dengan kumpulan terbabit.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita