Barisan Nasional menang PRN Johor, peroleh majoriti mudah bentuk kerajaan negeri
Gambar: CNA/Amir Yusof
JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas memenangi dua pertiga majoriti yang disasarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu (12 Mac).
Setakat 12.10 pagi, keputusan di laman web Suruhanjaya Pilihan raya menunjukkan BN menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. Pakatan Harapan (PH) meraih 11 kerusi, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Keadilan Rakyat masing-masing dapat satu kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga kerusi.
Awal dari itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh berkata BN yang dianggotai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Kongress India Malaysia (MIC), dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) memperoleh lebih 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan setakat 11.05 malam ini.
"Hari ini, proses pengundian bagi PRN Johor ke-15 telah berjalan dengan baik dan lancar," katanya kepada wartawan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, malam ini.
PRN Johor diadakan selepas DUN negeri dibubarkan pada 22 Januari lalu.
Selain Johor, BN sebelum ini turut memenangi PRN Melaka dengan 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi.
Menteri Besar Johor Hasni Mohammad mempertahankan kerusi DUN Benut, memperoleh 10,896 undi menewaskan calon PN Senator Isa Ab Hamid yang mendapat 5,037 undi, calon PH Haniff @ Ghazali Hosman (1,200 undi) dan Iskandar Noor Ibrahim mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang memperoleh 139 undi.
Beliau dilantik menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 pada 28 Feb 2020.
Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangannya pada PRN dalam catatan Facebook beliau malam ini.
"Tahniah Barisan Nasional di atas kemenangan dalam #PRNJohor,” kata Naib Presiden UMNO itu.
Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada para pengundi, kepimpinan, jentera dan petugas yang bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya negeri itu.
"Masa untuk Kestabilan Masa Depan rakyat Johor!," kata beliau dalam catatan Facebook itu.
Sebanyak 56 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN Johor kali ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.