Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Barisan Nasional kalahkan PH untuk tawan semula Semenyih

Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi, memenangi persaingan empat penjuru dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 1,914 undi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Mar 2019 09:56PM Dikemas Kini : 03 Mar 2019 09:29PM

KAJANG: Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi, memenangi persaingan empat penjuru dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 1,914 undi.

Encik Zakaria, 58 tahun, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali yang memperolehi 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25 tahun, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56 tahun, (725 undi).

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Sayuthi Bakar kira-kira 9.20 malam (2 Mac) di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian di Kajang.

Dengan kemenangan itu, BN menambah satu lagi kerusi di DUN Selangor kepada lima selepas memenangi empat kerusi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei 2018, manakala Pakatan Harapan (PH) menguasai 50 kerusi dan satu kerusi milik PAS.

Kerusi DUN Semenyih kosong menyusuli kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Jan lalu.

DUN Semenyih mempunyai sekitar 54,500 pemilih berdaftar merangkumi 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir berada di luar negara.

Peratusan keluar mengundi sehingga pukul 5.30 petang selepas 24 pusat mengundi ditutup ialah sebanyak 73.24 peratus, berbanding 87.90 peratus pada PRU14.

Pengundian awal pada Selasa (26 Feb) menyaksikan peratusan yang keluar mengundi adalah sebanyak 78 peratus.

PRK DUN Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14 dengan PH menang di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept 2018) dan Parlimen Port Dickson (13 Okt 2018), manakala BN menang di Parlimen Cameron Highlands (26 Jan 2019). 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan