Skip to main content

Dunia

Barisan menteri EU gesa tindakan lebih tegas susuli lonjakan warga hijrahan di Ceuta

Anggaran Waktu Membaca:
Barisan menteri EU gesa tindakan lebih tegas susuli lonjakan warga hijrahan di Ceuta

Warga hijrahan beratur untuk menerima makanan dan minuman daripada Palang Merah, menyusuli penyeberangan beramai-ramai warga hijrahan dengan berjalan kaki dan melalui laut dari Maghribi ke wilayah Sepanyol, di Ceuta, Sepanyol, 3 Ogos 2026. (Gambar: Reuters/Pedro Nunes)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 09:19AM
BRUSSELS: Menteri-menteri ehwal dalam negeri Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa (4 Ogos) menggesa tindakan lebih tegas terhadap rangkaian penyeludupan warga hiijrahan serta dasar ekstradisi yang lebih kukuh, selepas sekitar 72,000 daripada mereka memasuki Ceuta, wilayah Sepanyol di Afrika Utara, pada hujung Julai.

Mereka turut menggesa kerjasama lebih erat dengan negara-negara di luar EU bagi membendung penghijrahan tidak tetap dan mengelakkan kejadian serupa berulang.

Sekitar 75 warga hijrahan maut ketika cuba menyeberang, dengan ramai lemas manakala yang lain maut akibat rempuhan.

Pesuruhjaya Eropah Encik Magnus Brunner berkata, selepas mesyuarat tergempar menteri-menteri keadilan dan ehwal dalam negeri EU, bahawa lonjakan itu didorong rangkaian penyeludupan jenayah serta maklumat palsu di media sosial.

Beliau enggan mengulas sama ada Maghribi bertanggungjawab, sambil memuji kerjasama Rabat dengan pihak berkuasa Sepanyol dalam urusan ekstradisi.

Para menteri itu turut membincangkan langkah-langkah termasuk perkongsian risikan yang lebih baik, pemantauan media sosial dengan lebih teliti bagi mengesan lonjakan penghijrahan lebih awal, serta memperkukuh kawalan di sempadan-sempadan luar EU.

Pada Isnin, Maghribi menolak dakwaan bahawa ia bertanggungjawab terhadap lonjakan tersebut.
Related article image
Warga hijrahan cuba melintas dari Maghribi ke kawasan Sepanyol di Ceuta, Jumaat, 31 Julai 2026. (Gambar: AP/Antonio Sempere)
EU sejak beberapa tahun lalu semakin bergantung kepada perjanjian penghijrahan dengan negara-negara Afrika Utara untuk membendung kemasukan warga hijrahan secara tidak tetap. Namun, pengkritik berkata pendekatan itu menjadikan EU terdedah kepada tekanan dari negara-negara transit yang boleh melonggarkan kawalan sempadan demi kepentingan politik atau ekonomi.

Denmark dan Itali menggunakan mesyuarat tergempar itu untuk menggesa langkah-langkah penghijrahan yang lebih tegas.

Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis pula berkata EU wajar membenarkan penggantungan sementara pendaftaran permohonan suaka sekiranya berlaku kemasukan pendatang secara besar-besaran dan mengejut.
Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita