Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Barcelona berjaga-jaga setelah AS beri amaran risiko serangan sempena Krismas

Barcelona diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga hari ini (24 Dis) selepas Jabatan Negeri Amerika Syarikat memberi amaran mengenai risiko berlakunya serangan pengganas di bandar kedua terbesar di Sepanyol itu sempena cuti Krismas ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Barcelona berjaga-jaga setelah AS beri amaran risiko serangan sempena Krismas

Gambar fail Barcelona. (Gambar: Pau Barrena/AFP)

Diterbitkan : 24 Dec 2018 09:56PM Dikemas Kini : 24 Dec 2018 10:00PM

BARCELONA: Barcelona diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga hari ini (24 Dis) selepas Jabatan Negeri Amerika Syarikat memberi amaran mengenai risiko berlakunya serangan pengganas di bandar kedua terbesar di Sepanyol itu sempena cuti Krismas ini.

"Sila berwaspada ketika berada di tempat-tempat dengan pergerakan kenderaan, termasuk bas, di kawasan Las Ramblas di Barcelona semasa Krismas dan Tahun Baru.

"Para pengganas mungkin melancarkan serangan tanpa sebarang amaran, dengan menyasarkan lokasi-lokasi yang dikunjungi pelancong, hab-hab pengangkutan dan tempat-tempat awam lain," menurut Biro Ehwal Konsular Jabatan Negeri Amerika Syarikat dalam catatan Twitter pada Ahad (23 Dis).

Apabila ditanya mengenai amaran itu semasa satu wawancara bersama stesen radio Rac1 pada Isnin (24 Dis), Menteri Dalam Negeri Catalonia Miquel Buch berkata pihak polis "sedang menyiasat ancaman tersebut".

"Kami memandang serius terhadap semua ancaman dan semuanya sedang disiasat," tambah Encik Buch tanpa memberikan keterangan lanjut.

Akhbar Sepanyol El Pais menukil sumber-sumber polis yang identitinya tidak didedahkan sebagai berkata bahawa pihak berkuasa sedang memburu seorang lelaki rakyat Maghribi, berusia 30 tahun, yang mempunyai lesen untuk memandu bas.

Akhbar Barcelona El Periodico de Catalunya pula melaporkan bahawa polis Catalonia sudah menyebarkan nota dalaman bahawa lelaki berkenaan mungkin cuba memandu bas dan merempuh orang ramai di bandar tersebut.

Ketika dihubungi oleh agensi berita AFP, jurucakap pasukan polis Catalonia tidak mengesahkan sama ada polis sedang memburu seorang lelaki rakyat Maghribi.

Beliau bagaimanapun menekankan bahawa "langkah-langkah keselamatan sudah dikuatkuasakan buat sementara waktu di kawasan-kawasan yang penuh sesak dengan orang ramai."

Sepanyol mengekalkan tahap berwaspada terhadap ancaman pengganasan pada paras kedua tertinggi, sejak amaran itu dikeluarkan oleh Jabatan Negeri Amerika Syarikat, menurut jurucakap berkenaan.

Beliau menambah bahawa ini meskipun langkah-langkah keselamatan sudah dipertingkatkan pada bulan Disember semasa tempoh percutian sempena perayaan Krismas.

Pada 17 Ogos 2017, sebuah van merempuh orang ramai di Las Ramblas, Barcelona dan meragut nyawa 14 orang. Pemandu rakyat Maghribi berusia 22 tahun itu kemudian mencuri sebuah kereta selepas membunuh pemandunya, sebelum melarikan diri.

Beberapa jam menyusuli insiden itu, lima rakan subahatnya merempuh para pejalan kaki di kawasan jalan pesisir di sebuah resort tepi laut di Cambrils, di bahagian selatan Barcelona sebelum menikam mati seorang wanita.

Kumpulan militan ISIS mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut, iaitu serangan paling dahsyat yang pernah dilancarkan di Sepanyol dalam tempoh lebih 10 tahun. 

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan