Skip to main content

Dunia

Barack, Michelle Obama sokong Kamala Harris sebagai calon presiden

Anggaran Waktu Membaca:
Barack, Michelle Obama sokong Kamala Harris sebagai calon presiden

Kamala Harris. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 26 Jul 2024 06:22PM Dikemas Kini : 26 Jul 2024 06:23PM
ATLANTA: Mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan mantan wanita pertama Michelle Obama menyokong Kamala Harris dalam persaingannya untuk merebut Rumah Putih.

Meskipun dijangkakan, sokongan tersebut masih dianggap penting memandangkan ia adalah daripada dua anggota Democrat paling popular di negara itu.

Sokongan itu diumumkan pada pagi Jumaat (26 Jul) menerusi video yang menunjukkan Cik Harris menerima panggilan daripada pasangan tersebut. Ini sedang Cik Harris terus mengukuhkan momentum sebagai calon parti itu menyusuli keputusan Presiden Joe Biden untuk menamatkan kempennya bagi pemilihan semula bagi jawatan tersebut. Encik Biden juga menzahirkan sokongan kepada Cik Harris dalam persaingannya dengan mantan Presiden Donald Trump.

Ia turut menyerlahkan persahabatan dan hubungan bersejarah antara Presiden kulit hitam pertama negara itu bersama wanita pertama dan individu pertama berketurunan Asia yang berkhidmat sebagai Naib Presiden, yang kini bersaing untuk mencipta satu lagi sejarah serupa bagi peranan Presiden.

Encik Obama dan isterinya berkemungkinan merupakan tokoh yang terakhir dari parti itu untuk menyatakan sokongan mereka kepada Cik Harris secara rasmi. Mereka kekal sebagai antara tarikan bagi acara pengumpulan dana dan pengganti popular di acara kempen yang diadakan secara besar-besaran bagi calon-calon dari parti Democrat.

Menurut tinjauan Associated Press, Cik Harris sudahpun memperolehi sokongan majoriti perwakilan Konvensyen Nasional Democrat, yang bermula pada 19 Ogos di Chicago.

Jawatankuasa Nasional Democrat dijangka untuk mengadakan pengundian calon secara online, yang akan dijalankan selewat-lewatnya pada 7 Ogos, untuk menjadikan Cik Harris dan bakal timbalannya yang belum dinamakan, sebagai calon Democrat secara rasmi.

Encik Biden menyatakan sokongan kepada Cik Harris sejam selepas mengumumkan keputusannya untuk mengundurkan diri pada Ahad lalu di tengah-tengah kebimbangan berhubung keupayaan Presiden berusia 81 tahun itu untuk menewaskan Encik Trump.

Mantan Speaker Dewan Nancy Pelosi, Pemimpin Senat Chuck Schumer, Pemimpin Democrat Hakeem Jeffries, Whip Minoriti Dewan Jim Clyburn, mantan Presiden Bill Clinton dan mantan Setiausaha Negara Hillary Clinton turut menyatakan sokongan mereka kepada Cik Harris pada hari-hari berikutnya.
Sumber : AP/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita