Skip to main content

Dunia

Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram dikenakan tuduhan baharu, miliki buku berkait ISIS

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram dikenakan tuduhan baharu, miliki buku berkait ISIS

Pegawai polis forensik di luar balai polis Ulu Tiram di Johor, Malaysia, di mana dua pegawai polis dibunuh pada 17 Mei 2024. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

JOHOR BAHRU: Bapa kepada suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, berdepan pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, pada Isnin (2 Sep).

Radin Mohd Yassin, 62 tahun, yang merupakan tertuduh pertama, memiliki sebuah buku bertajuk Hakikat Islam dan Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman, berkaitan kumpulan pengganas ISIS.

Pertuduhan baharu berkenaan difailkan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan sebelum prosiding sebutan semula kes membabitkan lima sekeluarga berkenaan berjalan pada pagi Isnin, lapor Sinar Harian.

Bagi pertuduhan baharu itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Radin Imran daripada pertuduhan keempat sebelum ini membabitkan tuduhan sama, atas alasan teknikal.

Hakim Rasidah Roslee membenarkan permohonan berkenaan sebelum pertuduhan baharu itu dibacakan terhadap tertuduh.

Mahkamah turut membenarkan sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 24 September depan di Mahkamah Sesyen sama sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa Raya memohon tarikh baharu sebutan semula kes sebelum ia dipindahkan, bagi serahan laporan pakar keganasan berikutan pihaknya memerlukan tempoh kira-kira sebulan lagi sebelum melengkapkannya.

Menurut laporan Sinar Harian, empat lagi tertuduh iaitu isteri Radin Imran, Rosna Jantan, 59 tahun, yang juga warga Singapura dan juga anaknya Radin Romyullah Radin Imran, 34 tahun; Farhah Sobrina Radin Imran, 23 tahun, dan Mariah Radin Imran, 19 tahun, tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru dengan dikawal ketat polis, pada kira-kira pukul 8.40 pagi.

Pada 31 Julai lalu, Mahkamah Sesyen, di Johor Bahru, mengarahkan seorang daripada lima ahli keluarga yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram,17 Mei lalu, mendapatkan rawatan di hospital berikutan dikesan mempunyai simptom kemurungan.

Pada 19 Jun lalu, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas ISIS.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan dicatat selepas semua sembilan pertuduhan dibacakan kepada semua tertuduh di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, ketika itu.

Radin Imran dilaporkan berhadapan empat pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait, kumpulan ISIS.

Fahaman itu didakwa disemai kepada semua anggota keluarganya membabitkan Radin Luqman, 21 tahun, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram; isterinya serta tiga anaknya yang lain.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita