Skip to main content

Dunia

Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram dakwa darah polis, askar 'halal' dibunuh

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram dakwa darah polis, askar 'halal' dibunuh

Balai Polis Ulu Tiram. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Apr 2026 09:05AM
KUALA LUMPUR: Seorang pemuda yang hadir membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru semasa serangan tembak-menembak berlaku memberitahu Mahkamah Tinggi pada Khamis (9 Apr) bahawa bapa suspek penyerang mengaku “darah polis, askar dan institusi kerajaan halal untuk dibunuh”, lapor Sinar Harian.

Mahasiswa universiti, Muhamad Farhan Haiqim Mohd Isa, 24 tahun, berkata demikian dalam perbicaraan hari kedua kes lima anggota keluarga penyerang balai polis tersebut, yang berdepan sembilan tuduhan berkaitan pengganasan.

Muhamad Farhan Haiqim yang juga saksi pendakwaan ketiga berkata, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64 tahun, mengutarakan perkara itu semasa mereka ditahan reman dalam siasatan kes bunuh dua anggota polis pada 17 Mei 2024.

Katanya lagi, selain Radin Imran, mereka juga ditahan reman bersama seorang lagi tertuduh, iaitu adik penyerang, Radin Romyullah Radin Imran, di lokap yang sama di Balai Polis Bandar Seri Alam, Masai, Johor.

“Pakcik itu cakap, dia tidak keluar rumah kerana percaya bahawa, jika berbuat demikian, dia bertanggungjawab untuk berjihad bagi menyebarkan fahaman yang dipegangnya.

“Tiba-tiba dia menangis kemudian beritahu roh anaknya (penyerang) dibawa burung hijau ke syurga. Pakcik itu kemudian cakap, dia sedih sebab anaknya tidak mengajaknya menyerang balai polis bersama-sama,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan.

Menceritakan detik kejadian itu, pelatih industri itu berkata, pada pukul 1.00 pagi, 17 Mei 2024, dia dan bekas teman wanitanya ke balai polis tersebut untuk membuat aduan berhubung kes gangguan seksual.

Selepas meletakkan motosikal di kawasan parkir balai, dia berbual dengan Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar.

“Seorang lelaki tidak dikenali berpakaian serba hitam termasuk bertopeng dan menunggang motosikal hitam meluru masuk ke dalam balai.

“Lima belas minit kemudian, saya mendengar jeritan kuat dari arah dalam kaunter balai, lalu saya bergegas ke tempat teman wanita berada.

“Kami bersembunyi di bawah meja selepas mendengar beberapa das tembakan dilepaskan sebelum menghubungi talian kecemasan 999,” katanya.

Sementara itu, peguam, Faizal Rahman yang mewakili kelima-lima tertuduh membantah soalan mengenai perbualan yang dibuat dalam lokap tersebut.

Beliau berkata, ini kerana maklumat berkenaan tidak relevan dengan kes yang dipertuduhkan terhadap anak guamnya.

“Agak kelakar apabila pihak pendakwaan memberitahu tidak mengetahui maklumat yang akan disampaikan oleh saksi pendakwaan sendiri yang hanya berusia 24 tahun.

“Ini kes fahaman kononnya sesat berkaitan pengganas, sedangkan perbualan saksi dengan anak guam ialah ketika reman bagi kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Yazid Mustaqim kemudian menjawab bahawa bantahan pembelaan dibuat pada peringkat tidak matang.

“Ini merupakan perbualan antara saksi dengan tertuduh sendiri dan bukannya menggunakan medium pihak ketiga.

“Sebarang keterangan akan dianalisis oleh mahkamah dan tiada sebab pembelaan menyatakan maklumat tersebut memprejudiskan anak guamnya,” katanya.

Selepas mendengar perkara itu, Hakim, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor membenarkan pernyataan tersebut dikemukakan di mahkamah kerana ia menyentuh isu ideologi yang berkait dengan pertuduhan dihadapi kesemua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, ibu penyerang balai, Rosna Jantan, 61 tahun, mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi pengganas di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024, lapor Sinar Harian.

Bapa suspek, Radin Imran, membuat pengakuan sama atas empat tuduhan menanam fahaman ideologi pengganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.

Menurut Sinar Harian, adik-beradik penyerang, Radin Romyullah, 36 tahun, juga mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas ISIS di lokasi sama.

Dua anak perempuan Radin Imran iaitu Farhah Sobrina, 25 tahun, dan Mariah, 20 tahun, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi pengganasan.

Dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, Ahmad Azza Fahmi, 24 tahun, dan Muhamad Syafiq, 26 tahun, terkorban manakala Mohd Hasif, 40 tahun, cedera ditembak di bahu dan punggung kiri.

Perbicaraan bersambung pada Jumaat (10 Apr).
Sumber : Agensi berita/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita