Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bapa maafkan perbuatan anak susuli tragedi berdarah, penggal kepala ibu

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa maafkan perbuatan anak susuli tragedi berdarah,  penggal kepala ibu

Gambar fail seseorang digari. (Gambar/TODAY)

Diterbitkan : 19 Jan 2022 10:09AM Dikemas Kini : 19 Jan 2022 10:10AM

KUALA SELANGOR: Bapa kepada seorang lelaki yang dipercayai memenggal kepala ibunya hingga maut tetap memaafkan perbuatan anaknya itu meskipun berasa sedih selepas kehilangan isteri tercinta.

Bapanya, 61 tahun, yang enggan namanya didedahkan berkata, tragedi berdarah itu amat mengejutkan dan memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga, seperti dilapor Astro AWANI.

"Apa pun dia tetap anak dan darah daging saya. Ini mungkin kesilapannya tetapi apa boleh buat semuanya sudah terjadi kepada keluarga kami," ketika ditemui semasa menunggu jenazah isterinya dari Hospital Sungai Buloh untuk dibawa ke Surau An Nur di Kampung Baru, Pasir Penambang di sini pada Isnin (17 Jan).

Menurutnya, sebagai bapa sudah tentu dia inginkan yang terbaik buat keluarga, namun semua itu di luar kemampuannya.

"Saya hanya mampu berdoa agar anak saya berubah lebih baik, menjadi insan berguna dan menginsafi kesilapan yang dilakukan," katanya.

Mengulas kejadian itu, lelaki itu berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana keluar menjual udang di Kampung Bukit Belimbing, seperti dinukil Astro AWANI.

"Saya mengetahui kejadian ini selepas dimaklumkan oleh seorang rakan. Saya bergegas pulang dan mendapati orang ramai sudah mula berkumpul di luar rumah dan arwah isteri sudah meninggal dunia," katanya.

Bapa tujuh anak itu berkata, arwah isterinya itu disifatkan seorang yang peramah, baik hati dan taat serta rajin beribadah, lapor Astro AWANI.

BACA: Lelaki penggal kepala ibu dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika kejadian

"Arwah isteri tidak meninggalkan solat, sering berpuasa sunat dan dia juga ibu yang baik kepada anak-anak kami.

"Arwah juga baik dengan masyarakat dan jika ada kenduri dia antara yang paling awal datang membantu," katanya.

Katanya, meskipun mengakui terasa kehilangan isteri, namun tetap reda dengan ketentuan-Nya dan berdoa agar arwah isterinya itu ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

"Siapa tidak sedih apabila insan yang kita sayang sudah tiada di dunia ini, tetapi kami perlu pasrah dan menerima takdir yang telah tersurat," katanya.

Dalam pada itu, lelaki berkenaan juga meminta orang ramai menghentikan penyebaran gambar arwah isterinya di media sosial.

"Saya nasihatkan orang ramai jangan sebar gambar kejadian kerana ia mengaibkan keluarga kami. Tolonglah hentikan perbuatan ini," katanya.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan