Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bapa dan anak yang 20 tahun terpisah akhirnya bertemu di Johor

Tangisan kegembiraan menyelubungi pertemuan warga Malaysia di Singapura, Ali Jais yang terpisah sejak 20 tahun lalu apabila disatukan semula dengan anak-anaknya.

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa dan anak yang 20 tahun terpisah akhirnya bertemu di Johor

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 19 Dec 2020 10:21PM Dikemas Kini : 19 Dec 2020 10:23PM

JOHOR BAHRU: Tangisan kegembiraan menyelubungi pertemuan warga Malaysia di Singapura, Ali Jais yang terpisah sejak 20 tahun lalu apabila disatukan semula dengan anak-anaknya.

Encik Ali, 84 tahun, yang tinggal di Rumah Tumpangan Warga Tua Bukit Batok di Singapura, tiba kira-kira pukul 10.00 pagi tadi di sebuah stesen minyak di Johor dengan menaiki sebuah ambulans dari Malaysia selepas selesai menjalani ujian swab COVID-19 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) hari ini (19 Dis).

Warga emas itu yang mengalami masalah lutut perlu dipapah sejurus turun dari ambulans, disambut dengan pelukan dan tangisan kegembiraan oleh dua daripada tiga anaknya, Hasliza, 41, dan Khazimah, 37, sebelum dibawa balik ke rumah anak sulungnya, Hasliza di Batu Caves, Selangor untuk menjalani kuarantin.

Menurut Cik Hasliza, dia amat bersyukur dapat bersua muka kembali dengan bapa mereka yang sudah lama terpisah, bagaimanapun detik bersejarah itu tidak dapat disaksikan seorang lagi adiknya, Haslina, 39 tahun, yang bertugas sebagai jururawat.

“Akhirnya kami disatukan kembali dengan abah dan 31 Dis ini adalah hari jadi abah. Jadi, kami merancang hendak mengadakan majlis doa selamat sempena pertemuan ini. Kami tidak sangka dapat jumpa abah secepat ini.

"Kami terlalu rindu, seluruh keluarga merinduinya. Syukur segala proses untuk membawa pulang abah berjalan lancar. Terima kasih kepada semua yang membantu,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Misi membawa pulang Encik Ali mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak di Singapura dan Malaysia, proses itu turut dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang Andrew Chen Kah Eng bagi proses dokumentasi dan sebagainya.

Sementara anak bongsu Encik Ali, Cik Khazimah berkata sambutan Aidilfitri tahun hadapan bakal menjadi sambutan paling bermakna dalam hidupnya kerana buat kali pertama menyambut bersama bapanya.

"...pertama kali dalam hidup, sebab saya tidak pernah dapat merasa sambutan bersama abah, tidak pernah dapat cium tangan dia, syukur alhamdulillah,” katanya.

KUAH KARI, ASAM PEDAS MENU KEGEMARAN BAPA

Cik Hasliza dan Cik Khazimah, dalam masa sama berkata mereka tidak sabar untuk memasak lempeng kelapa bersama kuah kari dan asam pedas yang menjadi kegemaran bapa mereka, sebaik tiba di rumah.

Sementara itu, Encik Chen berkata beliau berhubung dengan anak-anak Encik Ali sejak awal bulan ini bagi menguruskan proses membawa pulang ke sini dan ia mendapat bantuan dan kerjasama pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura, Alpha Ambulance, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pada 15 Nov lalu, Bernama melaporkan rayuan pencarian Encik Ali oleh Cik Khazimah dalam perkongsiannya menerusi laman Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers dan bapanya itu berjaya ditemukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas berita mengenainya dilaporkan.

Berasal dari Kuala Selangor, Encik Ali kali terakhir ditemui anak-anaknya pada 2001 selepas berpisah dengan isterinya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan