Skip to main content

Dunia

Bapa anyam beg sekolah guna tali rafia

Demi pastikan anaknya tidak 'kekurangan' di sekolah, seorang ayah sanggup anyam sendiri beg untuk anaknya.

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa anyam beg sekolah guna tali rafia

(Gambar: Facebook/Sophous Suon)

Diterbitkan : 20 Jun 2019 12:10PM Dikemas Kini : 20 Jun 2019 12:25PM

BERITAmediacorp: Rajuk angin mati layar, kau perdayungkan tangan - itu antara seni kata lagu Bonda Ku Sanjung, Ayah Ku Agung oleh kumpulan 2D, yang membayangkan kesanggupan seorang ayah berkorban demi anak dan keluarga.

Baru-baru ini, satu catatan tular di Facebook turut menceritakan kisah sama yang berlaku pada seorang budak sekolah di Kemboja.

Catatan Facebook pada Isnin (17 Jun) yang setakat ini sudah dikongsi lebih 6,000 kali menunjukkan seorang murid berkaki ayam yang membawa beg berwarna biru ke sekolah.

Apa yang membuat beg itu lebih istimewa adalah, apabila dilihat dengan lebih teliti, ia jelas kelihatan telah dianyam menggunakan sejenis plastik.

Astro Awani melaporkan, beg itu sebenarnya dianyam oleh bapa murid tersebut menggunakan tali rafia, kerana tidak mampu membelikan beg untuk anaknya.

Meskipun beg itu dibuat sendiri, ia serba lengkap dengan tali hitam untuk digalas di bahu dan kancing untuk menutup beg tersebut.

Setakat ini, catatan yang dimuat naik pengguna dengan nama Sophous Suon itu berjaya menarik 130 komen.

"Amat menyentuh hati... Beg yang merupakan hadiah sangat berharga oleh ayahnya untuk membolehkannya ke sekolah. Apabila sudah besar nanti, pasti dia akan faham (pengorbanan) ayahnya. Ayah yang baik!" puji seorang pengguna bernama Dezmond Pang di ruang komen.

Selain kata-kata positif yang memuji bapa itu, tidak kurang juga pihak yang menyuarakan minat untuk membeli beg itu.

Yang jelas, meskipun Hari Bapa sudah berlalu, pengorbanan seorang bapa tidak kenal hari.

Sumber : BERITA Mediacorp/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita