Skip to main content

Dunia

Bapa akui dimaklumkan anak 'diajar' sebelum klip video tular

Bapa murid tahfiz yang dicucuh api serta diugut dipotong kemaluannya oleh seorang guru tahfiz wanita, mengakui dimaklumkan mengenai insiden itu oleh pengusaha tahfiz tersebut sebelum klip video mengenainya tular.

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa akui dimaklumkan anak 'diajar' sebelum klip video tular

Petikan gambar video yang tular di Facebook menunjukkan seorang wanita memarahi kanak-kanak lelaki.

Diterbitkan : 03 Sep 2018 05:33PM Dikemas Kini : 03 Sep 2018 05:38PM

KUANTAN: Bapa murid tahfiz yang dicucuh api serta diugut dipotong kemaluannya oleh seorang guru tahfiz wanita, mengakui dimaklumkan mengenai insiden itu oleh pengusaha tahfiz tersebut sebelum klip video mengenainya tular.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Zulkhari Zainol Abidin berkata perkara tersebut didedahkan dalam temu bual antara Pegawai Pelindung JKM dan bapa kandung serta kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terbabit.

“Dalam pertemuan itu, bapa kepada kanak-kanak terbabit memaklumkan sudah menghantar anaknya ke pusat tahfiz berkenaan sejak Julai lalu.

“Beliau juga ada dimaklumkan oleh pengusaha tahfiz yang mesra dengan panggilan ummi dan walid berkaitan percubaan untuk menggunting kemaluan, menyalakan api serta merotan kanak-kanak di tapak tangan dan kaki,” kata Encik Zulkhairi.

Beliau menambah, bapa kanak-kanak itu bagaimanapun tidak marah dengan tindakan pengusaha terbabit sekiranya niat hanya untuk mendidik selagi tidak mencederakan atau memudaratkan kanak-kanak tersebut.

BAPA PUAS HATI

Katanya, bapa kanak-kanak itu juga berpuas hati dengan ilmu yang diajar oleh pusat tahfiz tersebut yang dilihat sudah membantu anaknya bersolat sendiri, mengambil wuduk dengan cara yang betul selain sihat tubuh badan.

Menurutnya, JKM akan membuat penyeliaan dan pemantauan kes berkenaan selain turut memantau kanak-kanak lain yang berada di pusat tahfiz tersebut.

Sabtu lalu (1 Sep), polis menahan dua guru tahfiz pusat berkenaan selepas menerima aduan daripada bapa kanak-kanak terbabit selepas tular di media sosial mengenai tindakan mencucuh api dan mengugut memotong kemaluan anak lelakinya yang berusia lapan tahun.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Noor Yusof Ali berkata kedua-duanya yang berusia 43 dan 42 tahun serta dipanggil ummi dan walid ditahan pada 10.00 malam Sabtu (1 Sep) di Kampung Selamat.

Menurut ACP Mohd Noor, klip video yang tular memaparkan guru tersebut menarik kemaluan anak pengadu sebelum diancam untuk dipotong dengan sebilah gunting pemotong rumput serta dicucuh pemetik api.

Malah, dua lagi klip video turut memaparkan mangsa dipukul dengan rotan oleh guru wanita dan lelaki tersebut kerana didakwa mencuri makanan.    

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita