Skip to main content

Dunia

Bapa 5 anak imbangi masa kerja sebagai penghantar makanan Foodpanda & kejar PhD

Pekerja penghantaran Foodpanda Mohd Akmal Azhar dipuji orang ramai setelah dia membuktikan bahawa tidak mustahil untuk mendapatkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika bertugas sebagai seorang pekerja penghantaran.

Anggaran Waktu Membaca:

PETALING JAYA: Pekerja penghantaran Foodpanda Mohd Akmal Azhar dipuji orang ramai setelah dia membuktikan bahawa tidak mustahil untuk mendapatkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika bertugas sebagai seorang pekerja penghantaran.

Dalam wawancara bersama Mstar, Encik Akmal berkata bahawa program Doktor Falsafah selama empat tahun itu adalah dalam jurusan teknologi farmaseutikal dari Universiti Malaysia Pahang.

Encik Akmal yang berusia 36 tahun berkata bahawa dia menerima pembiayaan untuk melanjutkan pengajiannya selama tiga tahun. Namun dia perlu mencari kerja untuk membayar yuran sekolah pada tahun keempat pengajiannya.

"Sebelum saya meneruskan dengan pengajian saya, saya merupakan seorang pensyarah kontrak namun ia berubah apabila saya memutuskan untuk belajar sepenuh masa untuk mendapatkan ijazah Doktor Falsafah.

"Jadi saya bekerja sebagai pekerja penghantaran Foodpanda sejak perintah kawalan pergerakan pada tahun lalu untuk bantu membayar yuran sekolah dan perbelanjaan barangan dapur," kata Encik Akmal yang juga merupakan ayah kepada lima orang anak.

Berkongsi bagaimana dia dapat membahagikan masa antara menulis tesis dan pekerjaannya, Encik Akmal berkata dia akan bekerja sehingga waktu Maghrib, menukil laporan Mstar.

Menurutnya, salah satu cabaran yang dihadapi adalah untuk memastikan bahawa dia kekal berdisiplin untuk berhenti bekerja tepat pada waktunya supaya dia mempunyai masa untuk belajar pada waktu malam.

"Saya akan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam pada sebelah malam untuk menulis tesis.

"Mujur, tugasan makmal dan eksperimen sudah selesai dilakukan semasa tempoh tiga tahun (sebelum ini) jadi sepanjang setahun ini, saya hanya menumpukan kepada penulisan tesis.

"Terdapat hari-hari yang mana saya terpaksa pergi ke universiti namun segalanya berjalan lancar kerana Tuhan melindungi saya," kata Encik Akmal kepada Mstar.

Menurut Encik Akmal, azamnya untuk belajar dan menamatkan pengajiannya setiap hari didorong oleh keinginannya untuk menimba pengetahuan.

"Meskipun sebagai seorang pekerja penghantaran, saya mempelajari kemahiran insaniah seperti cara berbual dengan pelanggan, kesabaran dan kepentingan memanfaatkan waktu sebaiknya.

"Bagi saya apa yang bermakna adalah perjalanan dalam usaha meraih PhD - dan kemahiran yang saya timba dalam perjalanan itu. Dan setiap hari saya berdoa kepada Tuhan supaya diberi bimbingan," katanya.

Encik Akmal juga berharap dapat menyumbang kepada universitinya pada suatu hari.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita