Banyak laman internet, aplikasi tergendala susulan gangguan khidmat AWS
Unit khidmat pengkomputeran cloud Amazon, AWS, mengalami gangguan pada Isnin (20 Okt), menyebabkan banyak syarikat di seluruh dunia mengalami masalah keterhubungan.
Logo Amazon Web Services (AWS) kelihatan di persidangan Viva Technology yang dikhususkan bagi inovasi dan syarikat pemula di pusat pameran Porte de Versailles di Paris, Perancis, pada 12 Jun 2025. (Gambar fail: REUTERS/Benoit Tessier)
Menurut kemas kini di laman status AWS: “Kami mengesahkan peningkatan kadar ralat dan kelewatan bagi pelbagai perkhidmatan AWS di Wilayah US-EAST-1.”
Gangguan itu menjejas banyak syarikat di seluruh dunia, termasuk syarikat permulaan AI Perplexity, platform pertukaran mata wang kripto Coinbase dan aplikasi dagangan Robinhood, yang semuanya mengaitkan masalah tersebut dengan gangguan pada AWS.
“Perplexity sedang mengalami gangguan sekarang. Punca utama terkait dengan isu AWS. Kami sedang berusaha menyelesaikannya,” kata Ketua Eksekutif Perplexity, Aravind Srinivas, di platform X.
AWS menyediakan kuasa pengkomputeran, penyimpanan data dan perkhidmatan digital lain atas permintaan syarikat, pemerintah dan individu. Gangguan pada server AWS boleh menyebabkan kegagalan operasi bagi laman internet dan platform yang bergantung pada infrastruktur khidmat pengkomputeran cloudnya. AWS bersaing dengan khidmat pengkomputeran cloud Google dan Microsoft.
Amazon dan AWS belum memberikan sebarang komen semasa dihubungi wartawan.
Laman penjejak gangguan Downdetector melaporkan bahawa laman beli-belah Amazon, Prime Video dan Alexa turut menghadapi masalah.
Beberapa laman permainan seperti Fortnite (milik Epic Games), Roblox, Clash Royale dan Clash of Clans turut terjejas, selain platform kewangan seperti Venmo milik Paypal dan Chime.
Di Amerika Syarikat, ribuan pengguna aplikasi Lyft, iaitu pesaing Uber, juga dilaporkan mengalami gangguan.
Presiden aplikasi pengiriman mesej Signal, Meredith Whittaker, turut mengesahkan di X bahawa platform mereka terjejas akibat gangguan pada AWS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.