Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Banyak lagi' rundingan sulit dengan pemimpin Arab, kata Netanyahu

"Banyak lagi pertemuan dengan para pemimpin Arab dan Muslim yang tidak dilaporkan bagi menjalin hubungan dengan Israel," kata perdana menteri Benjamin Netanyahu pada Ahad (30 Ogos), menjelang penerbangan komersial sulung dari negaranya ke UAE.

Anggaran Waktu Membaca:
'Banyak lagi' rundingan sulit dengan pemimpin Arab, kata Netanyahu

PM Israel Benjamin Netanyahu.

Diterbitkan : 31 Aug 2020 09:12AM Dikemas Kini : 31 Aug 2020 09:15AM

BAITULMAKDIS: Israel mengadakan rundingan sulit dengan sebilangan negara Arab untuk mengukuhkan hubungan, kata perdana menterinya Benjamin Netanyahu pada Ahad (30 Ogos), menjelang penerbangan komersial sulung dari negaranya ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyusuli satu perjanjian untuk menjalin hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

"Banyak lagi pertemuan dengan para pemimpin Arab dan Muslim yang tidak dilaporkan bagi menjalin hubungan dengan Israel," kata perdana menteri itu tanpa menyebut mana-mana negara.

Satu perjanjian antara Israel dengan UAE untuk menyambung semula hubungan diumumkan pada 13 Ogos dengan Amerika Syarikat sebagai orang tengah, menjadikan UAE negara Teluk pertama dan negara Arab ketiga setelah Mesir dan Jordan mengikat hubungan rasmi dengan Israel.

Penerbangan komersial pertama dari Israel ke UAE pada pagi Isnin akan membawa rombongan Amerika Syarikat-Israel, yang dipimpin oleh Jared Kushner bagi pihak Amerika Syarikat, yang berdiri di sebelah PM Netanyahu semasa beliau membuat kenyataan itu pada Ahad.

"Pencapaian hari ini akan menjadi satu norma pada hari muka," kata Encik Netanyahu.

"Ia akan membuka jalan untuk negara-negara lain menjalin hubungan diplomatik dengan Israel."

Pejabat Encik Netanyahu minggu lalu menyatakan Penasihat Keselamatan Negara Meir Ben Shabbat akan mengetuai rombongan Israel.

Rundingan di Abu Dhabi akan cuba mencari jalan untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang-bidang termasuk penerbangan, pelancongan, perdagangan, kesihatan, tenaga dan keselamatan, menurut pejabat Encik Netanyahu.

Sejak perjanjian antara UAE dengan Israel didedahkan, para menteri dari kedua-dua negara saling menghubungi antara satu sama lain dan memeterai kontrak komersial.

Pada Sabtu, UAE memansuhkan undang-undang 1972 yang memulaukan Israel.

"Perjalanan ke Israel, pertukaran atau pemilikan semua jenis barangan dan produk Israel akan dibenarkan di UAE dan berurus niaga dengan negara itu," menurut dekri yang dikeluarkan oleh Presiden UAE Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahyan.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian UAE untuk menyambung semula hubungan dengan Israel yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Israel bersetuju untuk menggantung rancangan mengilhakkan sebahagian Tebing Barat. Namun Encik Nentanyahu dengan segera bertegas bahawa rancangan itu tetap akan diteruskan dalam jangka panjang.

Palestin menyifatkan perjanjian UAE dengan Israel sebagai tindakan "menikam di belakang" kerana ia membuka dunia Arab kepada Israel sedangkan konflik Palestin dengan Israel belum lagi terhurai.

Arab Saudi akan terus menegakkan dasar yang sudah dipertahankan oleh kebanyakan negara Arab sejak berpuluh-puluh tahun lalu dengan tidak mengikut jejak UAE selagi Israel belum menandatangani perjanjian damai dengan Palestin bagi menubuhkan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan