Bantuan pasca banjir RM25,000 dihulurkan kepada 6 pusat tahfiz

(Gambar fail: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Gerakan Koperasi Malaysia tampil dalam usaha menyantuni masyarakat yang terkesan akibat banjir melalui fasa ketiga Program Tanggunjawab Sosial Korporat (CSR) Bantuan Banjir kali ini di Lanchang Pahang, Hulu Langat dan Kuala Selangor, Selangor dan Jelebu, Negeri Sembilan seperti dinukil oleh Astro AWANI.
Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Rusli Jaafar yang mengetuai fasa ketiga misi pasca banjir berkata, program itu selepas langkah menyantuni mangsa banjir di beberapa buah negeri melalui fasa pertama dan fasa kedua sebelum ini.
Jelasnya, fasa ketiga bantuan ini adalah kesinambungan bantuan yang sudah berjaya dilaksanakan sejurus selepas banjir melanda beberapa buah negeri.
"Berbeza pada fasa pertama dan fasa kedua yang lebih tertumpu kepada kerja-kerja penyampaian bantuan makanan dan pembersihan kediaman anggota-anggota koperasi yang terkesan, fasa ketiga pula tertumpu kepada penyampaian bantuan kewangan kepada institusi-institusi pendidikan seperti pusat-pusat tahfiz dan sekolah pondok.
"Hari ini sahaja sebanyak RM45,000 (S$14,600) hasil sumbangan SKM bersama Gerakan Koperasi Malaysia telah berjaya dikumpul bagi membiayai bantuan dalam bentuk sumbangan tunai, dapur gas, barangan keperluan asas, makanan dan pakaian untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di empat kawasan terbabit.
"Ini termasuk sumbangan tunai sebanyak RM25,000 (S$8000) kepada enam buah pusat tahfiz yang turut terjejas teruk akibat banjir. Antaranya, Pusat Tahfiz Darul Faizin, Maahad Tahfiz An-Nisa, Maahad Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Yayasan Sofa serta Pondok Tahfiz Haji Ahmad," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Awal dari itu, Tuan Rusli Jaafar membuat pelepasan kepada semua kenderaan yang menyertai Misi Bantuan Prihatin SKM dan Gerakan Koperasi di Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Seramai 40 anggota sukarelawan terdiri daripada kakitangan SKM serta enam buah koperasi terlibat dalam misi kali ini.
Antara koperasi-koperasi yang terlibat adalah Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Koputra), Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) dan Koperasi Kakitangan Bank Simpanan Nasional Berhad (Kobanas).
Turut serta, Koperasi Kakitangan Kumpulan BIMB Holdings Malaysia Berhad (Kobimbing), Koperasi Ladang Berhad, Koperasi PEKAP Kuala Lumpur Berhad, Koperasi Kebuniti Selangor Berhad dan Koperasi Chef Malaysia Berhad.
Sebelum ini, sebanyak RM200,000 (S$ 64,700) hasil sumbangan SKM bersama Gerakan Koperasi Malaysia berjaya dikumpul bagi membiayai bantuan dalam bentuk barangan keperluan asas, makanan, pakaian, wang tunai serta peralatan pembersihan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Tanjung Karang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.