Skip to main content

Dunia

Bantahan merebak ke Surabaya, ratusan penunjuk perasaan kepung Gedung Negara Grahadi

Anggaran Waktu Membaca:
Bantahan merebak ke Surabaya, ratusan penunjuk perasaan kepung Gedung Negara Grahadi

Pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis meletus pada 28 Ogos berikutan seruan untuk gaji yang lebih tinggi untuk ahli parlimen, sementara ketidakpuasan awam meningkat terhadap pemerintah. (Gambar: Juni KRISWANTO / AFP)

Diterbitkan : 30 Aug 2025 09:45AM Dikemas Kini : 30 Aug 2025 09:52AM

JAKARTA: Gelombang tunjuk perasaan antipemerintah yang melanda Indonesia sejak 25 Ogos mencetuskan kebimbangan besar terhadap kestabilan politik negara itu.

Tunjuk perasaan menyusuli kematian tragis penunggang motosikal Gojek, Affan Kurniawan, sudah merebak ke Surabaya sedang beratus-ratus penunjuk perasaan mengepung Gedung Negara Grahadi pada petang Jumaat (29 Ogos)untuk menuntut keadilan, lapor Astro AWANI. 

Dalam pada itu, beribu-ribu rakyat Indonesia turun ke jalan raya di Jakarta dan bandar-bandar utama lain, menuntut pembaharuan menyeluruh dalam pentadbiran dan kebertanggungjawaban wakil rakyat.

Bantahan tercetus menyusuli pendedahan bahawa 580 ahli parlimen menerima elaun perumahan bulanan sebanyak 50 juta rupiah, hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta dan 20 kali ganda di kawasan luar bandar.

Dalam suasana ekonomi yang mencengkam, rakyat melihat elaun itu sebagai lambang ketidakseimbangan dan ketamakan golongan elit politik, menurut laporan Astro AWANI. 

Kemarahan memuncak selepas insiden tragis melibatkan seorang penunggang motosikal Gojek bernama Affan Kurniawan, yang terbunuh setelah digilis kenderaan polis semasa berlaku tunjuk perasaan di ibu negara.

Insiden itu menjadi pencetus rusuhan yang lebih besar, termasuk serangan terhadap ibu pejabat polis dan pembakaran bangunan di kawasan Kwitang.

Selain isu elaun, rakyat Indonesia turut membantah kenaikan cukai hartanah, kos pendidikan dan makanan yang melambung tinggi, serta pemberhentian pekerja besar-besaran dalam sektor swasta.

Gabungan pelajar dan kesatuan buruh seperti Gejayan Memanggil dan Partai Buruh menuntut pemansuhan sistem gaji murah, penghapusan kerja kontrak, dan kenaikan gaji minimum sejajar inflasi.

Kenyataan angkuh beberapa ahli parlimen turut menyemarakkan kemarahan awam.


Antaranya, Ahmad Sahroni dari Partai Nasional Demokrat (NasDem) yang menyifatkan rakyat yang menuntut pembubaran parlimen sebagai "manusia paling bodoh di dunia" - satu kenyataan yang kemudian diperbetulkan selepas menerima kecaman hebat.

Para penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Presiden Prabowo Subianto, pembubaran parlimen, dan pemecatan Ketua Polis Negara, lapor Astro AWANI. 

Dalam ucapan video rasmi, Encik Prabowo menyeru rakyat agar "percaya kepada pemerintah dan kepimpinannya" sambil meminta semua pihak bertenang.

Namun, bantahan dan tunjuk perasaan terus diadakan walaupun hujan lebat, menjadikan krisis ini ujian terbesar bagi pentadbiran Encik Prabowo sejak beliau mengambil alih jawatan pada Oktober lalu.

Sumber : Agensi berita/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita