Bantahan di Lubnan: 145 orang dilapor cedera
Polis antirusuhan Lubnan menyuraikan para penunjuk perasaan yang membaling batu ke arah para pegawai, dengan melepaskan gas pemedih mata di ibu kota Beirut dalam insiden ganas yang jarang berlaku di negara itu,

(Gambar: AFP)
BEIRUT: Polis antirusuhan Lubnan menyuraikan para penunjuk perasaan yang membaling batu ke arah para pegawai, dengan melepaskan gas pemedih mata di ibu kota Beirut dalam insiden ganas yang jarang berlaku di negara itu,
Beratus-ratus penunjuk perasaan dipercayai cedera.
Menurut pasukan perubatan, seramai 145 orang cedera dalam pertempuran terbaru, sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang cedera mencecah lebih 530 orang dalam tempoh dua hari.
Asap tebal disebabkan oleh gas pemedih mata menyelubungi ibu kota Beirut, sedang polis cuba mengusir para penunjuk perasaan dari kawasan yang menjadi tapak perhimpunan mereka berhampiran dengan bangunan Parlimen selepas kedua-dua pihak bertempur selama beberapa jam sebelum hujan lebat menyebabkan ramai bersurai.
Bantahan-bantahan itu menggegarkan Lubnan sejak 17 Oktober lalu, dengan rakyat daripada semua latar belakang agama menuntut penggulingan ahli politik Lubnan yang dilihat tidak cekap, mengambil rasuah dan bertanggungjawab atas krisis ekonomi yang semakin memburuk.
Selama dua malam berturut-turut, berpuluh-puluh orang membaling batu ke arah polis di belakang penghadang besi yang menyekat laluan ke Parlimen, sambil melaungkan cogan kata ‘revolusi, revolusi’.
Pasukan antirusuhan bertindak balas dengan menggunakan meriam air, peluru getah dan melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan para penunjuk perasaan, kata seorang wartawan AFP.
Menurut Palang Merah, lebih 145 orang cedera, termasuk 45 yang perlu mendapatkan rawatan di hospital.
National News Agency (NNA) pula melaporkan bahawa dua wartawan terkena peluru getah, termasuk seorang jurugambar dari saluran televisyen tempatan Al-Jadeed.
Presiden Michel Aoun mengadakan satu ‘mesyuarat keselamatan’ pada Isnin bersama para menteri ehwal dalam negeri dan pertahanan untuk membincangkan krisis itu.
Namun, seorang penunjuk perasaan yang dikenali sebagai Mazen, 34 tahun, berkata dirinya bersama yang para penunjuk perasaan yang lain sudah hilang kepercayaan terhadap para ahli politik.
“Selepas tiga bulan revolusi, mereka membuktikan kepada kami yang mereka masih belum berhasil membawa perubahan, tidak mendengar keluhan kami dan tiada apa-apa untuk diberikan,” katanya.
Pada Sabtu, sekurang-kurang 377 orang cedera - termasuk para penunjuk perasaan dan anggota pasukan keselamatan berdasarkan perangkaan yang dikumpul AFP daripada Palang Merah dan Pertahanan Awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.