Skip to main content

Dunia

Bantahan di Indonesia berhubung dakwaan salah laku pilihan raya

Anggaran Waktu Membaca:
Bantahan di Indonesia berhubung dakwaan salah laku pilihan raya

Sebuah poster pilihan raya memaparkan calon Presiden Prabowo Subianto (kiri) dan rakan seperjuangannya Gibran Rakabuming Raka (kanan), di samping Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo, menjelang pilihan raya presiden tersebut.

Diterbitkan : 19 Mar 2024 08:08AM Dikemas Kini : 19 Mar 2024 08:21AM
JAKARTA: Pilihan Raya Presiden di Indonesia sudah berakhir tetapi ramai terus-menerus membantah keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan.

Para anggota polis bahkan dikerahkan ke Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) demi memastikan bantahan yang diadakan di sana, tidak bertukar ganas.

Ramai penunjuk perasaan umumnya menggesa agar suruhanjaya tersebut menghalang calon Presiden Prabowo Subianto daripada menggalas tanggungjawab sebagai ketua negara negara yang seterusnya.

Mereka turut mendakwa bahawa penipuan besar-besaran telah dijalankan dalam pilihan raya pada Februari lalu.

Bantahan bagaimanapun diadakan secara aman walaupun ketegangan politik di sana sangat ketara.

KPU dijangka mengumumkan keputusan rasmi Pilihan Raya Presiden pada Rabu (20 Mac).

Kiraan pantas yang dijalankan oleh kumpulan-kumpulan peninjau bebas dan badan-badan pemikir menunjukkan Encik Prabowo, seorang veteran dalam bidang pertahanan yang terpalit pelbagai kontroversi di Indonesia, mendahului para pesaingnya, iaitu mantan gabenor Jakarta, Anies Baswedan, dan mantan gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo.

Menurut keputusan tidak rasmi, Encik Prabowo meraih kira-kira 58 peratus undi sementara Encik Anies mendapat 25 peratus dan Encik Ganjar pula memungut 17 peratus.

Pun begitu, beberapa perkara janggal dalam proses pilihan raya dijangka mencabar keputusannya, kata para pengamat.

Presiden Joko Widodo juga dituduh campur tangan dalam pilihan raya berkenaan, selain menunjukkan sokongannya terhadap Encik Prabowo, yang bertanding di samping anak lelaki sulung beliau, Encik Gibran Rakabuming Raka.

"Kami mendapati pelbagai tipu helah dilakukan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. Rentetan penipuan ini seolah-seolah sudah dirancang secara rapi sejak dahulu lagi," kata jurucakap satu gabungan kumpulan-kumpulan yang mengemukakan petisyen, Marlin Bato.

"Maka itu kami berasa bahawa pilihan raya ini dijalankan secara tidak wajar dan merupakan yang paling teruk sejauh ini. Kami mungkin akan terus membantah penipuan-penipuan sebegini walaupun selepas 20 Mac."

Pesaing Encik Prabowo pula belum mengaku kalah dan sedang menunggu KPU mengeluarkan keputusan rasmi. Mereka merancang untuk mempertikaikan perkara ini di Mahkamah Perlembagaan Indonesia.

Encik Anies dan Encik Ganjar juga dijangka memfailkan permohonan agar Dewan Perwakilan melancarkan siasatan terhadap pilihan raya yang dianggap satu bentuk penipuan "besar yang berstruktur dan sistematik".
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita